Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui satu sumber semalam telah memberi penjelasan bagaimana suspek bergelar Datuk Seri dalam kes sindiket Macau Scam dan perjudian online serta pengubahan wang haram yang menggunakan perniagaan artis, berjaya meloloskan diri dari Ibu Pejabat SPRM.
Namun, masih ada yang tidak dapat menerima penjelasan itu dan banyak reaksi negatif yang dilemparkan terhadap badan penguatkuasa berkenaan.
Untuk lebih terperinci lagi, portal Harian Metro membuat satu gambar ringkas bagi menjelaskan bagaimana insiden itu boleh berlaku, ditambah dengan sedikit maklumat terperinci.
Difahamkan, suspek meloloskan diri dengna bantuan tiga pengawal peribadinya yang bertindak dengan cekap dan semua itu dilakukan dalam tempoh kurang dari dua minit.
Dua daripada pegawal peribadi terbabit, sanggup menjadi 'kuda' bagi memudahkan suspek memanjat pagar anti-climb setinggi dua meter dengan memijak belakang dua balacinya itu.
Seorang lagi pengawal peribadinya menunggu di sebelah luar dan menyambutnya sebelum mereka melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Myvi.
Kejadian yang berlaku pada jam 6.30 petang Ahad (11/10/2020) langsung tidak disedari oleh pihak berkuasa.
APA YANG BERLAKU SEBELUM ITU?
Sembilan suspek tiba di pejabat SPRM Putrajaya pada jam 6 petang dan enggan keluar dari kenderaan masing-masing ekoran kehadiran polis yang ramai di lobi.
Setelah peguam, SPRM dan polis berbincang, polis akur dan menunggu semua suspek di luar pintu utama bangunan SPRM.
Selesai menjalani proses dokumentasi jaminan, sembilan suspek berkenaan dibebaskan dan datang empat kereta Toyota Vellfire menjemput kesemua suspek.
Bagaimanapun, suspek lain ditahan polis semula di depan pintu pagar utama. Namun seorang suspek dibebaskan dengan jaminan diserahkan SPRM kepada peguamnya.
Suspek bergelar Datuk Seri itu kemudian masuk ke dalam Vellfire bersama peguam, pengawal peribadi dan pemandu, dilihat menuju ke pintu utama.
Dalam pergerakan itu, suspek keluar dari kenderaan dan melarikan diri ke arah pagar sisi berdekatan pintu belakang bangunan SPRM dengan bantuan dua pengawal peribadinya.
Apabila polis menahan Vellfire yang dinaiki suspek di pintu utama, mereka menyedari suspek telah melarikan diri.
Sumber berkata, tidak timbul isu kecuaian dan dakwaan liar yang mengatakan suspek lari menggunakan bantuan 'orang dalam' ketika itu yang dibebaskan dengan jaminan.
Sumber: Harian Metro (Mohd Jamilul Anbia Md Denin & Hafidzul Hilmi Mohd Noor)