Seorang wanita dirogol dua lelaki di hadapan anak-anaknya dalam kejadian yang berlaku di Pakistan pada Selasa lalu.
Tidak terhenti di situ, suspek turut merompak wang milik mangsa sebanyak Rs1 lakh (RM5,649.20) sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
Sebelum kejadian, mangsa memandu kereta pacuan empat roda bersama dua orang anaknya dari Gujranwala.
Sekitar jam 1.30 pagi, kereta mereka kehabisan petrol dan mangsa mengambil keputusan untuk berhenti di lebuhraya Gujjarpura. Dalam masa yang sama, dia menghubungi saudaranya untuk meminta bantuan dan turut menghantar lokasinya yang terkini.
Saudaranya menasihatkan wanita itu untuk menghubungi talian polis lebuhraya, tetapi tidak berjaya. Dia diberitahu bahawa tiada pegawai yang bertugas pada waktu itu dan tiada bantuan yang dapat diberikan.
Tidak lama kemudian, datang dua lelaki menghampiri kenderaannya lalu memecahkan tingkap dan memaksa wanita itu bersama dua anaknya masuk ke kawasan semak berhampiran.
Suspek merampas beg tangan mangsa yang mempunyai wang tunai, gelang emas, geran kereta dan tiga keping kad ATM.
Suspek didakwa turut memperkosa mangsa di hadapan anak-anaknya.
Selepas kejadian itu, mangsa di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Laporan perubatan mangsa telah diberi kepada pakar forensik dan kertas siasatan juga dibuka.
Ketua Polis Negeri Punjab, Inam Ghani berkata, "Siasatan sedang dijalankan dan setakat ini pihak kami telah mengenalpasti suspek berasal dari kampung mana.
"20 pasukan polis telah diarahkan untuk menyiasat kes ini dan bukti-bukti juga telah dikumpul. Sebanyak 12 suspek telah ditahan untuk tindakan lanjut," katanya.
Sumber: Times Now News