Loading...
TR

(Video) 'Tolong, jangan tembak lagi' - Peguam mati selepas ditaser polis berkali-kali


Seorang peguam dan bapa kepada dua orang anak mati dalam tahanan polis di Colombia, tidak lama selepas dia dirakam merayu pada dua anggota polis yang kemudian menembaknya dengan pistol renjatan elektrik berkali-kali. 

Javier Ordonez, 46, ditahan di Bogota awal Rabu lalu selepas polis mendakwa dia melanggar peraturan penjarakkan sosial ketika minum di tepi jalan bersama beberapa rakannya. 

Video menunjukkan dua anggota polis menekan badan Javier yang meniarap di jalan raya sambil ditembak dengan pistol renjatan berkali-kali. 

Dalam video itu, jelas kedengaran Javier menjerit "tolong, jangan tembak lagi", tetapi rayuannya itu tidak diendahkan dan dua anggota polis itu kelihatan 'seronok sakan' menembak Javier. 

Juga kedengaran saksi kejadian berkata, "Diorang akan bunuh dia". 

Javier kemudian dibawa ke balai polis di mana ahli keluarga dan rakannya percayai Javier didera dengan lebih teruk. Javier kemudian dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia kerana kecederaan parah. 

Ketua Polis Bogota, Kolonel Guillen Alexander Amaya Olmos berkata, anggotanya terdahulu menerima panggilan awam yang melaporkan berlaku pergaduhan di jalan raya. 

Apabila dua anggota terbabit tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati ada lapan individu yang berada di bawah pengaruh alkohol sedang bergaduh dan mereka cuba meleraikannya. Ada beberapa individu yang bertindak agresif. 

Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke balai polis, salah seorang (Javier) mengalami masalah kesihatan dan dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia. 

Tetapi kesemua suspek yang ditahan bersama Javier, menafikan dakwaan kononnya mereka bergaduh. Malah mengakui ada bertemu dengan dua anggota terbabit ketika dalam perjalanan untuk pergi membeli minuman. 

Dua anggota polis yang terbabit dalam kejadian itu digantung kerja dan pihak pendakwaraya telah melancarkan siasatan terhadap kes itu. 

Datuk Bandar Bogota, Claudia Lopez mengecam kematian mangsa sebagai satu contoh kekejaman polis yang tidak dapat diterima. Claudia berjanji akan melakukan siasatan menyeluruh dan memastikan pelaku akan dikenakan hukuman setimpal. 

Susulan kematian Javier, ratusan penunjuk perasaan berkumpul dan menyerang balai polis yang menahan Javier dengan membaling tong sampah, batu dan kayu untuk memecahkan tingkap. 

Balai polis dan kenderaannya disemburkan cat dan sebuah motosikal dibakar. Beberapa lagi balai polis di lokasi lain turut diserang. 

Sumber: Daily Mail

About Cite Malaya

Powered by Blogger.