Lagi kes penunggang motosikal yang juga merupakan penghantar makanan dilanggar lari pemandu kereta yang tidak bertanggungjawab.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 11.50 malam Isnin (21/9/2020) lalu di jalan menghala ke Subang Airport, mangsa yang sedang menunggang motosikalnya di lorong kiri dirempuh sebuah kereta sedan berwarna putih.
Insiden itu sempat dirakam kamera papan pemuka (dashcam) dua buah kenderaan di belakang.
Dalam video itu jelas menunjukkan pemandu terbabit masuk ke lorong kiri secara tiba-tiba tanpa memberi 'signal' dan terus merempuh mangsa.
Pemandu itu bagaimanapun tidak berhenti dan meneruskan perjalanannya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Sementara mangsa yang cedera, terhincut-hincut berlari ke tepi jalan bagi mengelakkan dirinya dilanggar kenderaan lain.
Di media sosial, netizen percaya pemandu terbabit mungkin sedang leka dengan telefon bimbit sehingga tidak menyedari keretanya masuk ke lorong kiri.
Sebaik saja menyedari mangsa berada di depan, pemandu itu terus menekan brek tetapi gagal berbuat demikian dan terus merempuh mangsa.
Tidak diketahui sama ada mangsa membuat laporan polis atau sebaliknya, tetapi para penghantar makanan tak kira apa syarikat mahupun persendirian atau personal dinasihatkan untuk berhati-hati di jalan raya dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.
Pemandu kereta juga usahlah memandu terlalu laju bagaikan tiada hari esok. Pandulah dengan cermat dan hargailah nyawa anda mahupun nyawa para pengguna jalan raya yang lain khususnya golongan penunggang motosikal yang terdedah kepada bahaya.
Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS