Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mahu perogol dikenakan hukuman gantung atau dikembiri secara kimia, ketika rakyat di negara itu sedang marah dengan kejadian seorang wanita dirogol bergilir-gilir di depan dua anaknya, minggu lalu.
Imran Khan berkata, dia mahu pesalah jenayah seksual ini digantung di lokasi kejadian. Tetapi katanya, pelaksanaan hukuman seperti itu mungkin akan menyebabkan Pakistan dihukum oleh Kesatuan Eropah (EU), jadi mungkin lebih baik pesalah jenayah seksual ini dimandulkan secara kimia.
"Saya fikir, pesalah jenayah seksual ini patut dikembiri secara kimia. Saya pernah baca hukuman ini telah dilaksanakan di banyak negara lain," katanya.
Dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi Khamis lalu, kereta pacuan empat roda yang dipandu seorang wanita dan dua anaknya kehabisan minyak di lebuhraya berhampiran Lahore.
Mangsa kemudian mengunci pintu kereta dan menghubungi talian bantuan, tetapi sekumpulan lelaki datang memecahkan tingkap kereta dan mengheretnya keluar. Selepas dirogol di hadapan dua anaknya, mangsa juga dirompak.
Polis telah menahan 15 suspek tetapi kesemua mereka tidak terbabit dalam kes rogol itu. Namun polis mendedahkan nama dua suspek utama iaitu Shafqat Ali dan Abid Malhi.
Shafqat ditahan reman pada Isnin lalu dan polis mengesahkan DNA suspek padan dengan sampel yang diambil dari lokasi kejadian, serta suspek juga telah mengaku melakukan perbuatan terkutuk itu.
Suspek ketiga juga telah ditahan, namun suspek menafikan dirinya terbabit dalam kes itu dengan alasan kad sim telefon bimbitnya digunakan oleh rakan ketika kejadian itu berlaku. Alasan itu tidak diendahkan dan suspek terus direman untuk siasatan.
Suspek kedua, Ali, ditahan dalam serbuan di rumahnya di Punjab. Semakan mendapati, Ali mempunyai rekod jenayah berkaitan kes rogol berkumpulan pada 2013.
Kes itu turut mendapat perhatian Aktivis Hak Asasi Manusia yang menuntut Ketua Polis Lahore, Umar Sheikh dipecat kerana menyalahkan mangsa yang keluar tanpa ditemani lelaki dan kehabisan minyak ketika mengulas kes itu.
Umar bagaimanapun memohon maaf di atas kenyataannya itu dengan menjelaskan bahawa dia tidak berniat meminta mangsa bertanggungjawab di atas kejadian tersebut.
Sumber: Daily Mail
LAPORAN BERKAITAN