Loading...
TR

Desakan libido, punca ramai ikut trend 'DARK SIDE' media sosial


Menggunakan platform media sosial untuk memaparkan pelbagai perkara, sama ada peribadi, rasmi, perniagaan atau promosi barang merupakan perkara normal masyarakat masa kini.

Ada yang baik dan ada yang buruk. Ada juga untuk mencari populariti mudah dan ada yang untuk meluahkan perasaan.

Mungkin agak mengejutkan juga apabila ada yang berani memaparkan sisi hitam mereka di laman sosial, dan bagi pengguna tegar sebuah platform media sosial popular, pastinya mengetahui maksud akaun 'Dark Side’ atau DS iaitu pemilik akaun laman sosial yang memaparkan sisi gelap khususnya keinginan dan fantasi seksual.

Aplikasi media sosial yang mudah diakses juga memberi kelebihan kepada pengguna untuk membuka akaun DS masing-masing, malah jumlah akaun seumpama itu dilihat semakin bertambah dengan kebanyakan tulisan berbaur lucah, kata kesat dan mengajak melakukan hubungan intim, selain memuat naik serta menjual video dan gambar pornografi peribadi.

Baru-baru ini Bernama menemu bual seorang pengguna platform itu yang identitinya dirahsiakan, dan menurut beliau platform media sosial itu menjadi pilihan, kerana pengguna bebas memuat naik gambar dan video lucah peribadi malah lebih teruk ada antaranya memaparkan aksi seks luar tabii.

Pemilik akaun DS kebiasaannya menggunakan nama samaran dan memuat naik kandungan lucah peribadi untuk tatapan pengikut masing-masing, namun ada juga yang menjualnya untuk mengaut keuntungan.

“Ada akaun yang post gambar, video bogel sendiri…untuk suka-suka. Kebiasaannya dalam video dan gambar, si pelaku akan ‘menutup’ wajah mereka, namun ada juga yang secara jelas memaparkan wajah mereka,” katanya yang turut mengakui menjadi pengikut beberapa akaun DS.

Pemuda berusia 26 tahun itu berkata, pemilik dan pengikut akaun juga tanpa segan silu bersembang mengenai topik lucah, fantasi seksual dan saling bertukar kandungan pornogafi, malah ada yang mengajak untuk melakukan hubungan seks.

Terdapat pemilik akaun DS menjual koleksi video dan gambar lucah kepada pelanggan yang terpilih, dengan harga serendah RM50 dan ada yang mencecah ratusan ringgit.

Pemuda itu berkata, antara modus operandi pengguna media sosial itu ialah pemilik akaun memuat naik video pendek sebagai iklan untuk menarik pelanggan dan dimasukkan dalam satu kumpulan menerusi aplikasi 'chatting' selepas membuat bayaran.

Mengulas perkara itu, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din menjelaskan, trend DS ini dilihat berkait rapat dengan aspek kesihatan mental.

Menurutnya inidividu terlibat gagal mengimbangi desakan naluri, seksual dengan daya fikir yang rasional mereka berteraskan nilai agama dan moral yang kukuh.

“Si pelaku ini didesak oleh jiwa kacau ke arah menonjolkan maruah diri, bagi mencapai kepuasan sendiri sama ada dalam bentuk pengiktirafan, pujian, seksual atau perhatian.

“Mental yang lemah gagal untuk urus desakan libido atau naluri keseronokan yang kuat. Jika mental mereka kuat...ia akan dapat mengurus semua desakan naluri dengan baik dan berjaya. Jika tidak dirawat, akan menjadi barah dalam masyarakat, khususnya pengguna laman sosial,” katanya kepada Bernama.

Mohamed Fadzil berkata akaun DS  juga boleh dikategori sebagai alat untuk memperdayakan orang lain, khususnya gelongan wanita atau menjadikan wanita sebagai mangsa.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, trend DS mendapat perhatian polis dan kerjasama telah dilaksanakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, bagi mengenal pasti pemilik akaun yang didapati menjual atau mengedarkan gambar lucah atau erotik.

“Ini merupakan salah satu modus operandi yang digunakan oleh pihak tertentu, untuk tujuan pengiklanan dan promosi. Medium ini merupakan cara yang mudah dan boleh diakses serta murah oleh golongan sasaran atau orang ramai.

“Kegiatan ini merupakan sesuatu yang amat serius, kerana secara terang-terangan mempromosi dan mengiklan perbuatan melanggari undang-undang berkuatkuasa di Malaysia,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mior Faridalathrash menegaskan pengiklanan, pemilikan dan pengedaran ke atas bahan lucah sifatnya merupakan kesalahan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan jika pembeli berbuat demikian satu pertuduhan jenayah boleh dikenakan terhadapnya.

Beliau berkata beberapa akaun yang didakwa menjual gambar dan video lucah telah dikenal pasti baru-baru ini dan tindakan telah diambil bersama SKMM.

“Apabila ada akaun di laman sosial yang jelas menjual gambar dan video lucah ini, kita akan minta SKMM untuk menyekat laman sosial itu,” katanya yang turut memberi amaran bahawa polis sentiasa memantau trend DS ini di laman sosial.

Sumber: Bernama

About Cite Malaya

Powered by Blogger.