Loading...
TR

'Dah bosan curi tin susu, diorang curi pakaian pulak' - Polis tangkap 8 Geng Kangkang, rampas ribuan pakaian bernilai RM200K


Awal bulan lalu, polis berjaya menangkap lapan pencuri yang mendalangi kegiatan mencuri pakaian berjenama di beberapa pasar raya di sekitar Lembah Klang yang menyebabkan kerugian lebih RM200,000. 

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan dalam dua serbuan berasingan pada 10 Ogos lalu. 

Difahamkan, kumpulan itu adalah serpihan 'Geng Susu Kangkang' yang sebelum ini aktif mencuri susu tepung di pasar raya dan kedai runcit dan kemudian beralih kepada kegiatan mencuri pakaian. 

"Siasatan dan risikan ke atas kumpulan itu dijalankan susulan satu laporan polis yang diterima berkaitan kes kecurian pakaian di sebuah butik barangan bayi di AEON Mall, Puchong pada 20 Julai lalu. 

"Menerusi risikan selama tiga minggu, kita dapati suspek bergerak secara berkumpulan antara lima hingga enam orang untuk mencuri pakaian di pasar raya atau butik pakaian dalam pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang.

"Dalam tempoh sehari, mereka akan mengunjungi sekurang-kurangnya lima pusat beli-belah untuk mencuri pakaian," katanya. 

Kumpulan itu turut menggunakan pelbagai taktik termasuk mengalih perhatian pengawal keselamatan, selain mampu membawa keluar pakaian dicuri tanpa dikesan sistem pengesan yang ditempatkan di pintu keluar masuk. 

Difahamkan, mereka menyorok pakaian yang dicuri di dalam pakaian yang dipakai, beg, troli termasuk troli bayi dan sebagainya. 

Hasil kegiatan mereka disimpan di sebuah kediaman di Klang sebelum dijual kepada seorang ejen dengan harga antara RM10 hingga RM15 sehelai. Ejen itu kemudian akan mengagihkan barang curi itu kepada beberapa penjual sebelum dijual atau dilelong melalui Facebook dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran. 

Kesemua suspek terdiri daripada warga Indonesia dan warga tempatan berasal dari Sabah kini masih dalam soal siasat polis bagi mengesan saki baki kumpulan itu.

Semakan juga mendapati, enam daripada lapan suspek mempunyai rekod jenayah lampau. 

Foto Harian Metro

Polis juga turut merampas ribuan helai pakaian yang dicuri kumpulan itu yang dianggarkan bernilai RM200,000. 

Dengan tertangkapnya kesemua suspek terbabit, polis berjaya menyelesaikan kira-kira 30 kes kecurian pakaian yang dilaporkan semenjak 2019. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. 

Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.