Baru-baru ini tular sabun pencuci pakaian yang dikatakan menyerupai pembungkus gula-gula. Pembungkusannya yang berwarna warni sudah pasti membuat sesiapa sahaja tertarik terutamanya kanak-kanak. Pusat Racun Negara (PRN) mendedahkan terdapat kes kanak-kanak yang mengalami keracunan akibat termakan candy detergent ini.
"CANDY DETERGENT?"
Eh, sabun ke gula- gula ni? Nampak sedap je. Keliru kan?
Produk ini didapati banyak dijual secara atas talian. Tanpa label, warna yang menarik dan dipaketkan dalam bekas seperti bekas makanan, produk ini memang sukar dibezakan antara sabun atau gula-gula.
Produk yang dijual sebagai sabun pencuci baju ini dipromosikan mempunyai kepekatan yang tinggi. Hanya satu unit untuk satu cucian.
Selain mengandungi bahan pencuci, produk ini juga dikatakan mengandungi pelembut pakaian dan disinfektan. Hal ini akan menyebabkan kesan keracunan yang teruk jika termakan dalam kuantiti yang signifikan.
Produk ini telah berada dalam pasaran di negara lain lebih lama dan mereka juga mencatatkan kes keracunan seperti di Ireland, UK dan Kanada. Di Ireland, kes keracunan disebabkan oleh 'Candy Detergent' ini telah dilaporkan sejak tahun 2014 lagi.
Adakah anda ingin mengambil risiko keracunan dengan menggunakan produk seumpama ini?
Jika masih ingin menggunakan produk ini pastikan:
- Dikendalikan oleh orang dewasa sahaja
- Simpan di tempat yang tinggi dan sukar dicapai oleh kanak - kanak
- Simpan dalam bekas yang berwarna legap, bukan bekas lutsinar serta bukan bekas menyimpan makanan
#simpancermatkeluargaselamat #cegahkeracunandirumah
Sumber: Pusat Racun Negara