Loading...
TR

Bengang vape dirampas, 7 pelajar senior belasah junior sampai limpanya hancur & terpaksa dibuang


Viral di media sosial semalam perkongsian seorang pengguna Facebook yang mendakwa adiknya dibelasah sekumpulan pelajar senior sehingga menyebabkan organnya cedera dan terpaksa dibuang. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3 petang di sebuah sekolah tahfiz di Tanjong Karang, mangsa berusia 13 tahun itu dibelasah kerana pelajar senior tidak berpuas hati dengan tindakannya menghisap vape di asrama menyebabkan vape mereka turut dirampas oleh guru. 

Menurut sumber dalaman sekolah tahfiz itu berkata, ketika kejadian itu berlaku semua tenaga pengajar sedang menjamu selera. 

Mangsa terdahulu ditangkap oleh guru kerana menghisap vape dalam asrama. Kemudian semua pelajar diarahkan berkumpul di surau, sementara beberapa guru lain membuat pemeriksaan di asrama. 

Hasilnya, beberapa vape dan telefon bimbit milik pelajar yang dibawa ke sekolah tanpa kebenaran, telah dirampas. 

Sekumpulan pelajar senior tidak berpuas hati apabila barangan mereka turut dirampas menyebabkan mereka bertindak membelasah mangsa. 

Pihak guru kemudian dimaklumkan yang mangsa mengalami sakit perut lalu dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk menjalani pemeriksaan. 

Menurut abang mangsa, akibat dari kejadian itu adiknya mengalami kecederaan di bahagian limpa dan hati. 

"Doktor memberitahu kemungkinan organ limpa akan dibuang dan menyebabkan sistem imunisasi badan tidak berfungsi (mudah dijangkiti penyakit). 

"Kecederaan pada adik sangat teruk sehingga ditahan wad. Laporan polis telah dibuat dan mohon bantuan rakan-rakan supaya mendoakan adik saya sembuh seperti sedia kala," katanya. 

Dalam kenyataan itu, pengadu mendakwa adiknya dibelasah kira-kira lima hingga tujuh pelajar senior. Selain dibelasah, adiknya diangkat dan dihempas ke lantai. Tiga rakan mangsa juga turut dibelasah. 

Pihak sekolah tahfiz telah menyerahkan kes itu sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan meminta masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi dan tohmahan terhadap institusi tahfiz. 

"Kami sudah menjalankan semua SOP dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada keluarga mangsa dan tujuh pelajar yang terbabit dalam kes buli ini. 

"Malah kami juga akan mengadakan mesyuarat bersama tenaga pengajar bagi mengambil tindakan tegas terhadap pelaku termasuk memberhentikan pelajar yang terbabit," kata sumber dalaman sekolah tersebut. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Noor Janihan Nanya mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.