Viral di media sosial sebelum ini video seorang wanita mengamuk sehingga meludah dan membaling kon pada anggota penguatkuasa MBSA yang mahu menunda kenderaannya yang diletakkan di zon larangan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan dari anggota penguatkuasa MBSA pada Jumaat.
Menurut beliau, kejadian itu berlaku pada jam 12.12 tengah hari di mana dua anggota terbabit sedang melakukan rondaan di sepanjang jalan tersebut sebelum mendapati kereta suspek, Nissan almera diletakkan berhampiran pembahagi jalan sebelum mengenakan kompaun.
Bagaimanapun, rondaan berterusan mendapati kenderaan itu masih berada di situ dan tidak dialihkan menyebabkan mereka bertindak menunda kenderaan itu.
Ketika sedang melakukan kerja-kerja menunda, suspek datang dan bertindak agresif dengan memaki hamun, menolak dan meludah anggota MBSA.
Orang awam juga cuba menenangkan suspek tetapi suspek bertindak melakukan perbuatan yang sama terhadap mereka. Malah mengugut mahu bertindak lebih agresif jika anggota MBSA tidak melepaskan keretanya.
Disebabkan itu, penguat kuasa terpaksa melepaskan kenderaan suspek sebelum membuat laporan.
Polis telah mengenalpasti identiti suspek dan tangkapan akan dibuat untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Sumber: Harian Metro
LAPORAN BERKAITAN DENGAN AKAK KON