Anugerah Juara Lagu ke-34 sudah melabuhkan tirainya pada malam tadi dan menyaksikan Naim Daniel dinobatkan sebagai juara melalui nyanyian lagu Sumpah. Seperti acara-acara lain, AJL juga tidak terlepas menerima kritikan-kritikan daripada pelbagai pihak.
Persembahan AJL pada malam tadi cukup menghiburkan penonton, tetapi ada beberapa persembahan yang dikatakan tidak patut dipersembahkan apatah lagi apabila kanak-kanak kecil yang menyaksikannya.
Persembahan dari penyanyi wanita, Aina Abdul dikritik hebat apabila ada pihak yang mengatakan persembahan beliau keterlaluan dan melanggar peraturan. Tetapi Aina Abdul pula terkejut dengan dakwaan tersebut dan menolak sekerasnya dengan tuduhan yang dilemparkan.
"Sangat mengejutkan. Apakah sudah tiada idea kreatif lain sehingga mendesak untuk melakukan persembahan yang berkonsepkan memudaratkan diri di pentas AJL tahun ini? Stesyen tv dan produksi sepatutnya sudah sedia maklum dengan larangan adegan sedemikian di media.
"Mengikut pengacara, dalam persembahan tersebut, penyanyi yang berpakaian serba putih telah mencucuk dadanya sehingga cecair seperti darah membuak buak keluar membasahi pakaiannya. Skrin latar mempamerkan warna seperti darah pekat yang mengalir.
"Ternyata persembahan seperti ini memberi mesej yang SALAH kepada audiens mengenai kekesalan kekecewaan dalam percintaan sehingga perlu digambarkan dengan adegan yang agak sadis sebegitu.
"Persembahan seperti ini jelas telah melanggar Guidelines For Media Reporting on Suicide yang melarang sebarang bentuk adegan memcederakan diri atau memudaratkan diri dengan menunjukkan/menjelaskan cara dan kaedah untuk melakukannya.
"Bagi individu yang memiliki masalah mental, adegan seperti ini boleh menyebabkan TRIGGER yang boleh mengganggu pemikiran dan mungkin mendorong mereka melakukan perbuatan yang merbahaya juga.
"Bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang,kami ingin memohon masyarakat untuk membantu untuk membuat perlaporan kepada Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF)."
Aina Abdul melalui akaun media sosialnya telah membuat kenyataan mengenai isu ini dan berharap dengan penjelasan itu dapat meleraikan segala kekusutan.
“Assalamualaikum w.b.t. Astaghfirullah al adzim. Nauzubillahiminzalik. Sebagai seorang wanita muslim, tak pernah terlintas di fikiran saya untuk melakukan konsep seperti yang didakwa. Saya masih waras dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
"Persembahan saya hanya sebuah ekspresi seni yang saya sampaikan atas pentas AJL34 dan ia merupakan kesinambungan kepada jalan cerita muzik video Sumpah. Perkara ini saya sudah pun maklumkan sejurus selepas persembahan selesai di Instagram saya.
"Persembahan tadi merupakan simbolik kepada hancurnya hati seorang wanita kerana menyesal dengan perbuatannya sendiri terhadap orang yang amat disayanginya.Hati yang berdarah melambangkan kesakitan yang ditanggung oleh wanita itu selepas melukakan hati insan yang disayanginya.
"Semua orang mempunyai pendapat berbeza dan ingin saya tegaskan sekali lagi, persembahan saya tidak menyentuh elemen seperti yang didakwa.
"Ia langsung tidak ada kena mengena dengan dakwaan yang diperkatakan dan saya mohon maaf sekiranya terdapat salah faham yang timbul.
"Saya harap dengan penjelasan ini dapat meleraikan segala kekusutan yang melanda.
"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang AJL34 dan semua team produksi. Berada di pentas AJL34 sudah membuatkan saya sangat bersyukur.” Tulisnya di Instagram."
Sumber: Public Health Malaysia, Aina Abdul