Susulan viral video dua anggota JPJ memukul penunggang motosikal yang didakwa bertindak agresif ketika cuba melarikan diri dari sekatan dan cuba merempuh dua anggota JPJ yang sedang bertugas, suspek ditahan polis semalam.
Difahamkan, suspek yang merupakan warga Indonesia berusia 20 tahun bertindak melarikan diri kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Sebelum kejadian itu berlaku, sepasukan anggota JPJ sedang menjalankan sekatan jalan raya di lokasi tersebut, manakala sepasukan lagi menaiki kenderaan JPJ untuk memeriksa kenderaan yang berhenti sebelum sekatan.
Suspek dilihat berhenti dan anggota JPJ mengarahkannya meneruskan perjalanan ke arah sekatan. Tetapi suspek berpatah balik untuk melarikan diri dan cuba merempuh dua anggota JPJ yang sedang mengawal lalu lintas.
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi suspek apabila tayar motosikalnya bergesel dengan kereta JPJ lalu terbabas ke tepi parit jalan raya.
Ekoran tindakan suspek yang agresif dan enggan berhenti menyebabkan dua anggota terbabit bertindak melompat ke arah suspek.
"Cubaan anggota JPJ melompat ke arah penunggang motosikal itu tidak mengenai penunggang terbabit lalu anggota itu tergelincir di tepi longkang.
"Namun akhirnya anggota JPJ terbabit berjaya menahan lelaki itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut sebelum diberkas polis," kata Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186/323 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada dokumen.
Sumber: Harian Metro
LAPORAN BERKAITAN