Seorang wanita berusia 31 tahun bertindak membunuh diri selepas mendapati suami barunya adalah seorang homoseksual.
Menurut laporan Oriental Daily, doktor berasal dari Chongqing, China itu selalu menjadi kebanggaan ibu bapanya. Selepas tamat pengajian, dia bertemu dengan seorang lelaki dan menjalinkan hubungan.
Lima bulan kemudian, pasangan itu berkahwin. Tetapi kebahagiaan yang diharapkan tidak datang, sebaliknya timbul beberapa perkara yang tidak diingini di mana si suami meminta untuk tidur berasingan.
Wanita itu berasa hairan dengan permintaan suaminya tetapi bersangka baik mungkin dirinya gagal memuaskan suaminya.
Si isteri kemudian mencari bantuan di internet dan netizen berpendapat suaminya mungkin lelaki gay.
Doktor itu mula menyoal suaminya mengenai hal-hal berkaitan seksual dan selepas didesak akhirnya lelaki itu mengaku dirinya adalah biseksual. Dalam masa yang sama, lelaki itu menangis dan berkata dia berkahwin kerana dia sayang padanya serta memohon maaf.
Sayu melihat suaminya menangis kesedihan, dia pun memaafkan lelaki itu. Namun tidak beberapa lama kemudian dia ternampak mesej lelaki lain di telefon bimbit suaminya. Sekali lagi doktor itu berdepan dengan lelaki itu yang akhirnya mengakui bahawa dia adalah gay.
Hancur luluh hati si isteri lalu mengambil keputusan untuk bercerai dengan suaminya. Pada malam kejadian, doktor itu bertindak terjun dari bangunan dan maut serta-merta.
Ibu bapa mangsa percaya kematian anak mereka berpunca dari menantu di mana mangsa ada memaklumkan kepada mereka yang lelaki itu hanya menyukai lelaki, berbanding perempuan.
Ibu bapa mangsa mengambil keputusan untuk memfailkan saman terhadap menantu di atas kematian anak mereka.
Menurut peguam pendakwa, mangsa satu-satunya anak pasangan berkenaan dan berusia 31 tahun pada tahun kejadian serta baru saja berkahwin selama enam bulan.
Peguam memohon mahkamah mengenakan denda 630,000 yuan (RM371,000) terhadap lelaki itu sebagai pampasan di atas kematian doktor berkenaan. Tetapi mahkamah menolak tuntutan saman dari ibu bapa mangsa.
Sumber: Oriental Daily, World of Buzz