Loading...
TR

'Bagi diorang makan kelawar' - Netizen puas hati 2 samseng belasah pemandu bas didakwa di mahkamah


Padah bikin kecoh menyerang pemandu bas pelancong hanya kerana kemalangan disebabkan salah sendiri, dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bharu hari ini. 

Tertuduh, Lim Kia Pin, 39, dan Lai Kok Kong, 32, didakwa atas empat pertuduhan termasuk mendatangkan kecederaan terhadap pemandu bas dan menyerang anggota polis. 

Bagaimanapun, Lim dan Lai memilih membuat pengakuan tidak bersalah ke atas empat pertuduhan tersebut. 

Bagi pertuduhan pertama, Lim dan Lai dituduh secara bersama-sama berkelakuan tidak senonoh dengan bertindak agresif dan membuat bising di Balai Polis Gelang Patah pada 4.35 petang, 24 Januari 2020. 

Mereka juga dituduh menyerang seorang penjawat awam yang juga anggotap olis ketika menahan mereka di lokap balai polis yang sama pada jam 5.51 petang, 24 Januari 2020. 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara maksimum enam bulan jika sabit kesalahan serta Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Lim dan Lai juga didakwa melakukan khianat dengan merosakkan barang dalam sebuah bas persiaran atau kamera perakam perjalanan dan cermin bas yang dipandu mangsa, Nor Hafiz Nor Azmin, 32, di KM29 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah pada 1.45 tengah hari 24 Januari 2020. 

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Lai juga dituduh mencederakan mangsa dengan menggunakan mesin gerudi tangan, botol air minuman dan tin penyembur serangga di dalam bas. Lai dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, Lim pula dituduh mencederakan mangsa dengan menggunakan anggota badannya dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum atu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Majistret Rashidah Baharom kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM9,500 setiap seorang dengan seorang penjamin. Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan agar tidak mengganggu mangsa sepanjang tempoh perbicaraan. 

Kes disebut semula pada 13 Februari depan untuk serahan dokumen. 

Sumber: Harian Metro

LAPORAN BERKAITAN

About Cite Malaya

Powered by Blogger.