Loading...
TR

'Lapor jika ada masalah dengan warga asing terutamanya PATI' - Imigresen


Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak hari ini menggesa orang ramai atau penduduk yang mempunyai sebarang masalah dengan warga asing terutamanya pendatang tanpa izin (PATI) di kawasan masing-masing tampil membuat laporan kepada pihaknya berserta dengan maklumat. 

Pengarah JIM Perak, Kamalludin Ismail berkata, dengan maklumat dari orang awam itu, pihaknya dapat membuat operasi dan pemeriksaan terhadap golongan itu. 

"...sila lapor segera kerana SOP JIM bila mendapat aduan, risikan serta pemantauan akan dibuat bagi memastikan aduan diterima adalah benar dan kemudian tindakan penangkapan akan dijalankan bagi semakan dokumen dan sebagainya. 

"Kita akan ambil tindakan, maka salurkan butiran di mana kumpulan warga asing berkenaan, berapa ramai dan sebagainya," katanya memetik laporan dari Harian Metro. 

Kamalludin berkata demikian ketika mengulas mengenai kerisauan penduduk akan isu kebanjiran warga asing di sekitar Manjung terutamanya di kawasan perindustrian Kampung Acheh yang mengundang rasa kurang selesa penduduk tempatan. 

Namun katanya, di Perak sahaja terdapat kira-kira 78,000 warga asing yang mempunyai pas pekerja asing, bukannya semua warga asing itu adalah PATI. 

Walaupun begitu, pihaknya tetap akan menjalankan pemeriksaan dan semakan dokumen sekiranya mendapat aduan dari orang awam. 

Isnin lalu, seorang wanita berdepan dengan detik cemas apabila keretanya ditahan seorang lelaki warga asing bertatu yang juga cuba membuka pintu keretanya dalam kejadian di Kampung Acheh, Sitiawan. 

Suspek dipercayai warga Myanmar dan berada di bawah pengaruh alkohol. 

Kawasan itu sememangnya sudah dibanjiri dengan warga asing dan mereka selalu menimbulkan masalah sehingga membuatkan penduduk di kawasan itu berasa tidak selamat. 

Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.