‘Tangan yang memberi, lebih baik dari tangan yang menerima.’ Satu perumpaan yang menggambarkan nikmat sedekah itu memberikan makna yang cukup besar kepada penerima. Oleh sebab itu kita digalakkan untuk bersedekah kepada sesiapa sahaja.
Nikmat sedekah ini juga turut dikongsikan oleh seorang lelaki. Beliau ketika itu buntu memikirkan untuk meneruskan perjalanan kerana wang yang ada pada tangannya tidak mencukupi. Dia menghubungi ibunya dan menceritakan masalah tersebut. Ibunya menasihatinya untuk bersedekah. Kuasa sedekah, bukan sahaja telah memudahkan urusannya, malahan rezekinya juga bertambah.
CERITA masa di UKM. Lebih kurang 20 tahun lalu. Malam ni saya teringat satu cerita. Cerita semasa masih belia remaja lagi. Masa saya ditahun pertama di UKM, saya selalu berulang alik dari Muar ke Bangi. Masa tu arwah abah sedang sakit.
Satu hari saya pulang lewat. Masa zaman tu bukan macam zaman sekarang semua kemudahan ada, handphone ada, bas senang. Masa itu tak semudah sekarang. Kalau nak balik Muar perlu turun naik 4 bas baru sampai.
Dari rumah ke bandar Muar, dari Muar ke Pudu Raya. Dari Pudu Raya ke Kajang. Dari Kajang barulah ke UKM.
Satu hari, saya terlambat. Masa tu arwah abah dirawat di hospital Batu Pahat. Jadinya makin jauhlah perjalanan saya yang perlu naik bas untuk balik belajar. Cuti pun sabtu dan Ahad sahaja.
Saya sampai ke Pudu Raya jam 12 tengah malam. Bas ke Kajang dah habis. Dalam fikiran saya, perlulah saya tunggu esok untuk balik UKM tetapi masalahnya seawal 8 pagi saya ada exam yang perlu saya hadir. Teksi pun tak ada ,dan duit pun tak banyak ada. Tak Ada Grab macam sekarang.
Saya susah sangat, mati akal nak ikhtiar macam mana. Saya telefon rumah dan nak bercakap dengan mak. Sekurang-kurangnya saya dapat ketenangan.
Saya cerita dengan mak. Lama juga dapat call mak. Mak suruh saya sabar. Dia tanya saya duit dalam poket ada berapa?. Saya kata ada RM20 je. Cukup-cukup tambang ke UKM. Kalau lebih pun sedikit.
Mak suruh saya pecahkan duit kecil-kecil. Mak suruh saya sedekahkan je duit yang saya ada. Saya cakap dengan mak, itu je duit yang saya ada.
Ingat lagi pesan mak. "Sedekahlah, bila sedekah nanti kita dapat tiga perkara. Pertama ketenangan, keduanya kekuatan dan ketiganya kejutan dan keajaiban". Masa itu saya tak faham apa yang mak maksudkan.
Setelah saya fikir, saya tak ada apa-apa pun yang boleh saya buat masa itu. Sudah tak ada orang yang boleh membantu saya. Saya ikutlah cakap mak. Mak suruh saya cari anak-anak yang tak ada rumah dan berbaring kat situ, orang susah atau sesiapa sahajalah yang susah.
Saya ambil duit RM10 dan saya pecahkan duit kecil seringgit. Saya berjalan mencari anak-anak untuk saya sedekahkan duit yang sedikit itu.
Saya jumpa seorang pakcik yang sedang mencari kotak dalam tong sampah dan saya berikan duit padanya. Saya jumpa dua orang anak yang masih kecil lingkungan 10 tahun tidur di bangku dekat Pudu Raya itu. Saya berikan sedikit sedekah.
Benar kata mak saya lebih tenang dan kuat. Saya mampu tersenyum.
Saya ke surau solat. Saya lepak sebentar di luar surau. Datang seorang anak muda bertanya pada saya yang saya mahu ke mana?. Saya ceritakan yang saya mahu ke Kajang. Lebih 10 minit kami berbual dia pergi untuk urusannya.
Tiba-tiba pemuda itu datang lagi. Dia maklumkan saya yang ada seorang pakcik tersesat dan bertanya ada bagaimana dia mahu ke Bangi. Masa tu tak ada Google Map. Dia minta saya bantu pakcik itu. Terkejut saya. Pertolongan yang tidak disangka-sangka datang. Benarlah sedekah mendatangkan keajaiban.
Saya dapat bantu pakcik tu ke rumah anaknya di Bangi. Saya boleh pulang ke UKM dan ambil exam. Saya dapat sedekah dari pakcik itu RM50.
Sejak itu saya benar-benar percaya yang sedekah mendatangkan lebih banyak rezeki. Sedekahlah bila anda senang dan lebih nampak impaknya sedekahlah tika anda sedang dalam keadaan sukar kerana ianya lebih payah.
Adakah anda berbisnes? Jika ya impak sedekah lebih bermakna. Orang bisnes memang mahu hidupnya tenang, dapat sokongan dan ianya mengharapkan sebuah kejutan.
Adakah anda sangka semua pelangan yang anda dapat itu satu kebetulan? Bagaimana Allah tarikan hati mereka berurusan dengan anda. Mereka tidak kenal anda. Marketing hanyalah medium sahaja. Lebih ramai orang yang mempunyai strategi marketing tetapi masih tidak berjaya.
Contoh paling terdekat bila saya dapat peluang bisnes sedangkan saya tak pernah mengenali mereka semua sebelum ini. Allah yang aturkan.
Sumber: Coach Bahar