Seorang murid perempuan berusia 12 tahun bertindak terjun dari bangunan sekolahnya di Guangdong, China pada 12 November lalu.
Bapa kepada Xiao Ru yang dimaklumkan mengenai kejadian itu segera datang ke sekolah dan mendapati anaknya sudah terbaring tak sedarkan diri.
Bapa mangsa berkata, dia masih ingat bila anaknya tersenyum untuk kali terakkhir ketika dia memanggil nama Xiao Ru. Walaupun mangsa dikejarkan ke hospital, dia tidak dapat bertahan kerana mengalami kesukaran bernafas dan kehilangan banyak darah.
Selepas kejadian itu, bapa mangsa meneliti semula video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan menunjukkan kejadian itu berlaku pada waktu rehat di mana guru matematik, Wang, bertegas mahu memeriksa kerja sekolah Xiao Ru tanpa sempat menjamah sebarang makanan.
Wang kemudian mencampak kerja sekolah Xiao Ru ke lantai di hadapan murid-murid yang lain dan berteriak memarahi mangsa yang gagal menyiapkan kerja sekolahnya.
Wang juga memukul Xiao Ru dengan pembaris dan berterusan memarahi mangsa selama 3-4 minit. Kesemua rakan-rakan sekelas menyaksikan Xiao Ru dimarahi guru terbabit menyebabkan mangsa menangis.
Selepas dimarahi Wang, Xiao Ru keluar dari kelas dan terus terjun dari tingkat empat.
Sedih dengan kejadian yang berlaku, bapa mangsa menuntut penjelasan dari Wang. Namun, Wang tidak tampil selepas kejadian itu dan pihak sekolah juga gagal menunjukkan sebarang sijil kelayakan untuk Wang mengajar di sekolah itu.
Sumber: Sina, World of Buzz