Seorang lelaki berusia 28 tahun tergamak membunuh bapa kandungnya, Rahadi, 58, dengan kapak dan menyembunyi mayat mangsa di dalam tangki septik.
Kejadian yang berlaku di Desa Kendayakan, Kecamatan Warureja, Kabupaten Tegal, Indonesia, pada 29 Oktober lalu menggemparkan penduduk kampung.
Difahamkan, suspek yang merupakan anak ketiga dari empat beradik tinggal dengan ibu bapanya.
Namun perbuatan bapanya yang curang di belakang ibunya membuatkan dia berang dan berniat mahu membunuh mangsa.
Ketika mangsa bersendirian di rumah, suspek mengambil kesempatan itu untuk membunuh bapanya dengan menyerangnya menggunakan kapak sehingga mati.
Selesai melakukan jenayah itu, suspek kemudian menyembunyikan mayat mangsa di dalam tangki septik dan disimen. Senjata yang digunakan dalam kejadian itu pula dibuang ke tanah kubur berhampiran.
Kejadian itu disedari isteri mangsa yang juga merupakan ibu kandung suspek berikutan penemuan banyak kesan darah di rumah.
Setelah berfikir panjang dan takut dipenjarakan terlalu lama, suspek mengambil keputusan untuk menyerah diri kepada penduduk kampung dan mengakui telah membunuh mangsa sebelum diserahkan kepada polis.
"Saya bimbang jika saya melarikan diri, hukuman yang lebih berat bakal dikenakan. Akhirnya saya serahkan diri.
"Ya, saya memang sudah lama berdendam dengan bapa saya," katanya.
Suspek tidak kesal membunuh mangsa kerana dia sememangnya sudah berniat mahu melakukan perkara itu kerana bengang dengan mangsa yang curang di belakang ibunya.
Menurut suspek, mangsa menjalinkan hubungan dengan seorang wanita yang juga merupakan jiran mereka.
"Sudah banyak buktinya. Malah dia pernah memberi motosikal kepada wanita itu," katanya.
Siasatan polis mendapati, suspek mempunyai sejarah gangguan mental dan pernah dirawat beberapa kali di hospital pada tahun 2016, 2017 dan Mei 2019.
Suspek didakwa kerana membunuh dan bakal dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Sumber: Serambi News