Pasangan kekasih yang kantoi bercumbuan dalam kereta nyaris lemas apabila kereta mereeka terbabas ke dalam longkang ketika melarikan diri daripada polis.
Dalam kejadian yang berlaku pada malam Sabtu di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), pemandu lelaki berusia 19 tahun dan kekasihnya berusia 25 tahun itu dikatakan sedang bercumbuan di dalam kereta.
Menyedari kehadiran polis, pemandu itu ketakutan lalu memecut keretanya ke arah Plaza Tol Bagan Ajam, arah Sungai Dua menyebabkan mereka dikejar polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sebelum itu polis melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan yang berada di lorong kecemasan lebuh raya itu.
"Suspek juga bertindak melanggar palang tol dan sebaik sampai di KM11.1 lebuhraya itu, kereta itu hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah yang sama.
"Kereta yang dipandu suspek dan motosikal itu terjatuh ke dalam longkang di tepi lebuh raya yang dipenuhi air.
"Kedua-dua suspek diselamatkan oleh anggota polis, manakala penunggang motosikal yang parah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan," katanya.
Pasangan berkenaan yang juga merupakan penuntut di sebuah institut kemahiran dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk mendapatkan rawatan sebelum ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.
Sumber: Harian Metro