Lapan anggota polis termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Kesemua lapan anggota terbabit adalah antara 47 orang termasuk seorang anggota tentera dan majistret yang ditahan dalam serbuan kira-kira 1 pagi.
Hasil ujian air kencing yang dijalankan turut mendapati anggota tentera itu positif dadah manakala majistret berkenaan dikesan tidak mengambil dadah.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Zamri Yahya berkata pemeriksaan dalam premis hiburan di tingkat satu dalam Wisma MPL itu turut membawa kepada penemuan paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah.
Beliau berkata polis turut menahan 11 lagi anggota polis lain atas kesalahan berada dalam pusat hiburan itu dipercayai sedang berhibur.
“Selain tindakan undang-undang sedia ada kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah, 19 anggota itu bakal dikenakan tindakan tatatertib.
“Ini kerana Ketua Polis Negara sebelum ini sudah mengeluarkan Arahan/Larangan Mengunjungi pusat-pusat hiburan kepada semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika dihubungi Bernama.
Kesemua mereka berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan reman empat hari bermula hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) akta yang sama.
Sumber: Bernama