Loading...
TR

(Video) Lelaki belasah bekas isteri & mentua, katanya alami tekanan perasaan


Sikap panas baran tidak terkawal, ditambah pula dengan rasa tidak puas hati berhubung konflik rumah tangga yang dialami menyebabkan lelaki ini bertindak membelasah bekas isteri dan bapa mentuanya sehingga cedera. 

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada jam 12.15 tengah hari 4 September lalu dan hanya viral di media sosial sejak hari ini. 

Klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, mangsa (35) dan bapanya (60-an) dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai urusan mahkamah di Shah Alam, namun menyedari tayar kereta pancit (ditoreh) lalu berhenti di lokasi kejadian. 


Tiba-tiba kereta bekas suaminya (34) berhenti berhampiran lalu keluar dan menghentak kepala bapa mangsa sehingga berlaku pendarahan. 

Orang awam yang ternampak kejadian itu terus datang membantu meleraikan pergelutan mereka bertiga sebelum suspek beredar. 

Mangsa dan bapanya kemudian bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Akibat dari kejadian itu, bapa mangsa menerima tiga jahitan di kepala, manakala mangsa hanya mengalami kecederaan ringan. 





Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar mengesahkan menerima laporan dari mangsa berhubung kejadian itu. 

Suspek bagaimanapun tampil di IPD Sungai Buloh untuk memberi keterangan pada jam 12 tengah hari 9 September lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan pada hari yang sama. 

Suspek turut mengemukakan surat rujukan perubatan yang memaklumkan dia disahkan mengalami tekanan perasaan. 

Polis masih menunggu laporan penuh perubatan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.