Baru-baru ini, heboh di media sosial mengenai kempen memboikot perniagaan bukan Islam dan Bumiputera giat dilaksanakan di media sosial sehingga pelbagai senarai barangan dikongsikan agar pengguna mengetahui status produk tersebut dimiliki oleh siapa.
Namun, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menganggap tindakan itu sebagai tindakan yang kurang bijak kerana ia dilihat tidak adil terhadap masyarakat bukan Muslim yang tidak mempunyai niat permusuhan dengan orang Islam di negara ini.
"Saya berpendapat memboikot barangan bukan Muslim bukan satu seruan yang bijak kerana meskipun jelas ketara sikap sebahagian daripada mereka (orang bukan Islam) khususnya ahli politik parti tertentu, tetapi bukan semua bersikap demikian.
"Ada antara mereka yang baik dalam menjaga hubungan dan penghormatan mereka terhadap masyarakat Islam. Malah Islam juga tidak mengajar kita untuk memusuhi orang yang tidak memusuhi kita kembali," katanya.
Bagi Mohd Asri, tindakan memboikot itu adalah tidak wajar kerana produk Bumiputera ketika ini tidak merangkumi keseluruhan keperluan harian masyarakat.
Maka tindakan boikot itu sukar untuk berjaya jika pengguna masih bergantung kepada sumber produk bukan Muslim dalam sebahagian keperluan harian.
Dr Asri percaya, kempen yang lebih baik dilakukan pada ketika ini adalah kempen membantu menjana ekonomi sesama Muslim kerana golongan anti-Islam memandang lekeh terhada masyarakat Islam kerana ekonomi merka lemah.
"Kita mesti berikhtiar membantu dengan membeli dan mengutamakan produk Muslim selain berkongsi kepakaran dalam bidang ekonomi.
"Orang Islam perlu mencari cara mengatasi kelemahan masyarakat Islam dalam menguasai rantaian bekalan utama," katanya.
Sumber: FB Dr Asri