Seorang wanita berusia 29 tahun dari Bandung, Indonesia dilaporkan menikam bayinya yang berusia tiga bulan dengan pisau dapur selepas mendakwa terdengar bisikan halus yang memberitahu dia masih belum bersedia untuk menjadi ibu.
Kejadian itu berlaku di rumah ibu mertua dan sebelum itu suspek sedang memandikan mangsa dan dia mendakwa terdengar suara halus itu memberitahu:
"Awak masih belum bersedia untuk menjaga dia (mangsa), bunuh saja dia. Anak awak akan masuk syurga."
Tidak diketahui siapa yang melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. Namun seorang penduduk yang dikenali sebagai Tarja berkata, dia terkejut apabila melihat kehadiran anggota polis di kampungnya yang mahu mencari suspek.
"Polis tiba dan bertanya tentang alamat rumah suspek. Saya ikut mereka ke rumah dan polis kata anak suspek sudah mati," katanya.
Ekoran kejadian itu, suspek ditahan untuk disoal siasat dan mengaku telah membunuh anaknya sendiri selepas terdengar suara bisikan halus itu yang meminta dia berbuat demikian.
Para penduduk di kampung itu tidak menyangka tragedi itu berlaku pada keluarga berkenaan kerana mereka tidak pernah menghadapi sebarang masalah.
"Kami terkejut sebab keluarganya orang yang baik-baik, tiba-tiba saja jadi begini," kata mereka.
Polis tidak menolak kemungkinan suspek mengalami penyakit meroyan dan didakwa melakukan jenayah membunuh.
Polis kini masih menyiasat kejadian itu dan difahamkan mangsa adalah anak pertama suspek.
Sumber: Tribun News