Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun tergamak memukul bayi lelaki berusia 20 bulan sehingga mati kerana cemburu terhadap ibu mangsa, lapor Harian Metro.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, kejadian itu berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Egang-Egang, Pulau Bum Bum pada Jumaat lalu.
Siasatan awal mendapati, suspek yang merupakan warga asing dipercayai berbuat demikian kerana didorong rasa cemburu kerana mengesyaki teman lelakinya menyukai ibu mangsa yang merupakan seorang janda berusia 23 tahun.
Suspek yang tidak dapat mengawal perasaan cemburunya itu bertindak melepaskan kemarahan terhadap bayi itu dengan memukul mangsa ketika si ibu keluar untuk bertemu dengan rakan, untuk meminjam wang membeli susu.
Suspek menampar dan mencampak mangsa ke katil, selain menarik kepala mangsa sehingga terhantuk di katil. Mangsa juga dibungkus dengan selimut lebih dari lima minit.
Apabila si ibu kembali, dia mendapati mangsa berada dalam keadaan lemah dan pucat lalu segera menghantar mangsa ke Hospital Semporna. Namun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 petang.
Bertindak di atas laporan polis yang dibuat, empat suspek remaja perempuan warga asing berusia 16 hingga 19 tahun telah ditahan kerana disyaki menyebabkan kematian mangsa.
Siasatan juga mendapati, seorang lagi suspek berusia 18 tahun turut memijak belakang badan mangsa, manakala dua lagi suspek berusia 16 dan 18 tahun berada di lokasi kejadian.
Mangsa dan ibunya tinggal menumpang di rumah suspek utama bersama tiga lagi suspek lain sejak setahun lalu.
Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati ada lebam di bahagian pipi selain beberapa kecederaan di beberapa bahagian lain yang disyaki menjadi punca kematian.
Kesemua suspek direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Harian Metro
LAPORAN BERKAITAN