Loading...
TR

'Allah temukan aku dengan dia untuk beri pengajaran' - 2 lelaki bertumbuk di Plaza Tol Bukit Kiara kini berkawan


Insiden pergaduhan yang lalu, didorong dengan perasaan marah menyebabkan kedua-dua lelaki ini mahu berentap sesama sendiri. Namun menerima akibat apabila kedua-duanya disumbat ke dalam lokap seketika.

Selain itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan  denda RM1,000 atas kesalahan yang dilakukan di Plaza Tol Bukit Kiara pada 17 September lalu. 

Namun kini, Mohamad Fazrien Mohd Ziear, 29, dan Ng Whye Hong, 39, sudah menyesal dengan perbuatan mereka dan insaf. 

Perasaan insaf itu timbul tatkala kedua-duanya berada di dalam lokap Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bersama hampir 50 banduan lain.

Pengalaman itu dikongsikan sendiri oleh Mohamad Fazrien di Facebooknya.

"Kenangan 20 September 2019 menjadi memori dan kesedaran pada kami terutama aku. Allah temukan aku dengan Ng Whye Hong untuk memberi pengajaran kepada aku. 

"Melihat suasana dan keadaan mereka (banduan) secara langsung timbul keinsafan dalam diri. Saya berada di dalam lokap itu hampir tujuh jam.

"Bayangkan cara percakapan, tingkah laku dan kebersihan banduan lain menakutkan saya dengan Ng. Itu saat bermulanya kami berborak dan masing-masing menyesal dengan sikap, emosi serta ego semasa kejadian. 

"Walaupun sekejap berada dalam tahanan, saya rasa seperti hilang segala nikmat. Kehidupan boleh ubah sama sekali. 

"Ng turut beritahu saya, jika situasi sama berlaku padanya, dia tidak akan turun melawan. Sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan. 

"Sentiasalah ingat orang tersayang dan bertimbang rasa serta bertolak ansur ketika di jalan raya. Undang-undang dicipta bukan untuk menghukum, namun tujuan utamanya untuk mendidik dan itu yang berlaku terhadap saya," katanya. 

Bagi Mohamad Fazrien, tidak timbul soal siapa menang atau kalah, mahupun siapa sakit dalam kejadian itu tetapi biarlah kejadian itu menjadi kenangan dan pengajaran. 

Jumaat lalu, Majistret Noorasyikin Sahat menegur tindakan dua lelaki terbabit sebelum menjatuhkan hukuman. 

"Sepatutnya kamu (Mohamad Fazrien) sabar dan menjadi contoh baik kepada orang bukan Islam. Isteri kamu pula patut baik pulih keadaan dan bukan biarkan suami bergaduh. 

"Kamu pula (Ng Whye Hong) sudah matang dan sepatutnya boleh berfikir. Kamu tidak malu jika nanti bila sudah tua anak-anak lihat video yang tular ini?" katanya. 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.