Orang awam sentiasa dinasihatkan untuk berhati-hati apabila berada di tempat awam kerana ada penjenayah yang mungkin sedang memerhati dan menjadikan anda sebagai sasaran.
Dalam perkongsian Polis Kedah baru-baru ini, penjenayah kini dikesan menggunakan taktik memperdayakan pemandu kereta terutamanya golongan wanita, kononnya tayar kereta mereka pancit.
Namun usah terus percaya, sebaliknya teruskan pemanduan dan berhenti di tempat yang selamat bagi mengelakkan anda menjadi mangsa mereka.
SENTIASA berwaspada, taktik yang digunakan penjenayah yang cuba melakukan rompakan terhadap pemandu kereta yang sedang memandu di jalan raya.
TAKTIK YANG DIGUNA PAKAI PENJENAYAH SEPERTI BERIKUT:
- Menunggang sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki dan menunjukkan tanda isyarat tangan ke arah tayar bahagian kiri atau kanan.
- Sekiranya pemandu tidak berhenti pada waktu itu, datang sebuah motosikal lain (kedua) dinaiki dua lelaki menunjukkan perkara yang sama bagi mewujudkan rasa khuatir dalam diri pemandu supaya memberhentikan kenderaan ke bahu jalan.
- Apabila pemandu memberhentikan kenderaan, suspek akan turun dari motosikal dan menuju ke bahagian kiri atau kanan tayar dan meminta pemandu melihat kerosakan yang dialami.
- Pada masa yang sama, motosikal yang dinaiki dua lelaki yang pertama turut memberhentikan motosikal mereka tidak jauh dari kenderaan mangsa.
- Apabila mangsa keluar dari kenderaan atau menurunkan cermin kereta. Suspek dari motosikal pertama akan bertindak melarikan kereta mangsa atau memaksa mangsa untuk keluar dari kenderaan sebelum melarikan kereta atau melakukan samun.
NASIHAT:
- Sekiranya anda berada dalam keadaan yang dinyatakan terus memandu ke balai polis berdekatan atau kawasan yang ramai orang atau berhenti di kawasan ‘safety point’ antaranya 7-Eleven dan stesen minyak 24jam.
- Tidak panik dan kenal pasti nombor kenderaan yang dinaiki suspek seperti (jenis motosikal, warna, nombor pendaftaran, bangsa, pakaian dan jantina).
- Memastikan nombor telefon bilik gerakan mana-mana balai polis berdekatan.
- Membunyikan hon kereta beberapa kali untuk menarik perhatian penggunakan jalan raya sekiranya berada dalam situasi kecemasan.
- Jangan menggadai nyawa sekiranya berlaku pergelutan dengan suspek untuk mempertahankan harta benda.
Sumber: Polis Kedah