Seorang penduduk kampung yang sedang mandi di Sungai Dipang berhampiran Kampung Sahom, Kampar, terkejut apabila menemui mayat seorang bayi lelaki yang tersangkut dalam sungai itu.
Dalam kejadian jam 2 petang Ahad, bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemui dalam keadaan masih bertali pusat dengan separuh badannya terendam dalam sungai.
Menurut saksi, sebelum itu dia ternampak objek berkenaan dan menyangka objek itu patung. Namun sebaik saja dia menghampirinya, barulah dia mengetahui objek itu adalah bayi yang masih bertali pucat.
Saksi terus menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan itu.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, bayi itu mungkin dibuang ke dalam sungai itu sebaik saja dilahirkan dan mungkin dihanyutkan arus deras sebelum ditemui tersangkut di kawasan cetek.
Bagaimanapun, pihaknya belum dapat memastikan tempoh sebenar kelahiran mangsa dan perlu menunggu laporan bedah siasat dibuat di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Sumber: Harian Metro