Loading...
TR

'Kalau rasa tak selamat jangan naik, kita tak paksa guna teksi motosikal' - PM


"Kalau rasa tak selamat, jangan naik. Anda ada pilihan, kita tak paksa guna teksi motosikal," demikian kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai keselamatan penumpang yang akan menggunakan perkhidmatan Gojek. 

Jelas Mahathir, perlaksanaan Gojek di Malaysia bukan sahaja membantu golongan muda, malah pengusaha tempatan yang menjalankan perniagaan kecil. 

Adalah perkara biasa apabila kerajaan ingin melaksanakan sesuatu cadangan, akan ada tentangan dari pelbagai pihak yang tidak berpuas hati. Namun hasrat kerajaan adalah mahu ia memberi manfaat kepada negara dan rakyat. 

Sementara itu Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pihaknya akan melakukan kajian terperinci mengenai perkhidmatan teksi motosikal dalam tempoh sebulan terutamanya dari aspek keselamatan, budaya dan melihat pelaksanaan yang telah dilakukan di negara jiran. 

Beliau berkata, teksi motosikal tidak akan menggantikan secara keseluruhan pengangkutan awam yang lain. 

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan merangkap Penasihat Big Blue Capital (M) Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail menegaskan pelaksanaan Gojek akan mendatangkan banyak kesan buruk terutamanya dari aspek keselamatan seperti risiko kemalangan, masalah sosial, kesesakan jalan raya, bandar raya kotor serta lokasi berkumpul mat motor Gojek. 

Katanya, dia terpanggil untuk membela nasib anak muda yang kononnya kerajaan menjanjikan pekerjaan kepada golongan itu, dan mendakwa cadangan itu hanya akan menjatuhkan martabat anak muda.

Tidak cukup dengan itu, Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof MAdya Dr Kulanthayan KC Mani berkata Gojek juga akan menimbulkan isu kebersihan dan kesihatan. 

Ini kerana katanya, jika topi keledar yang digunakan bersilih ganti dengan orang lain, ia berisiko menyebar pelbagai jenis penyakit berkaitan kulit. 

"Pembonceng motosikal akan berpeluh dan ia akan melekat pada topi keledar yang digunakan oleh pembonceng lain selepas itu," katanya. 

Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.