Seorang wanita hamil lapan bulan, Wan Hasheliza Wan Ibrahim, 29, dan suaminya, Shahril Apipie Mokhtar, 29, maut ditimpa tangga separa siap rumah teres dua tingkat yang dalam pembinaan di Kampung Matang Pagar, Selangor, kelmarin.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.30 tengah hari itu, turut maut ialah dua jiran mereka iaitu, Mohd Radzi Abdul Aziz, 35, dan warga Indonesia, Bambang Sulisto, 39, yang dipercayai terkena renjatan elektrik.
Saksi kejadian itu, Mohd Hazir Haikal Jamri, 15, berkata, dia pada ketika itu sedang membersihkan kawasan tersebut sebelum pulang ke rumahnya di belakang rumah mangsa dan terdengar bunyi dentuman lalu bergegas ke luar untuk melihat apa yang berlaku.
"Ketika itulah saya terdengar kakak (Wan Hasheliza) menjerit meminta tolong dan memberitahu sakit.
"Tolong... sakit" - jeritan terakhir mangsa.
Suaminya pula ketika itu sedang cuba menyelamatkannya sebelum jiran yang lain datang membantu. Namun keadaan yang kecoh itu tiba-tiba menjadi senyap dan mereka tidak bergerak sebelum ternampak tangan jiran itu terkulai.
Ibu kepada Haziq, Norazila Saad, 34, berkata, pasangan berkenaan menyewa di rumah itu sejak Disember lalu dan dia rapat dengan mereka.
"Dia (Wan Hasheliza) mengandung anak sulung mereka kelihatan gembira mengemas barang untuk balik ke kampung di Kelantan bagi menyambut Hari Raya Haji dan bersalin di sana.
"Dia juga sempat meminta saya masak pulut berinti kelapa dan ikan masin kelmarin kerana mengidam. Sepatutnya dia menjamah makanan itu petang ini (hari kejadian) tetapi tidak kesampaian.
"Sepanjang mengenali mereka, pasangan terbabit sangat baik dan tidak kedekut," katanya.
Sementara itu, Rahmat Selamat, 33, sedih kerana melihat abang iparnya, Mohd Radzi Abdul Aziz, 35, dan dua jirannya maut terkena renjatan elektrik ketika cuba menyelamatkan Wan Hasheliza.
"Ketika kejadian, saya bersama abang ipar dan dua lagi lelaki sedang memotong rumput sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dan suara wanita menjerit.
"Kami berempat terus berlari ke arah bunyi berkenaan sebelum mendapati berlaku runtuhan di salah satu unit rumah yang terletak 20 meter dari lokasi kami.
"Sebaik sampai, saya melihat Shahril Apipie menyelinap masuk ke bawah runtuhan tangga kontrit untuk menyelamatkan isterinya.
"Mereka kemudian cuba mengangkat runtuhan itu bersama jiran, Bambang, yang datang untuk membantu.
"Pada waktu itu, kami berlima cuba mengangkat runtuhan itu dari sebelah hadapan tangga. Namun gagal sebelum Bambang dan abang ipar saya masuk ke dalam rumah untuk mengangkat runtuhan dari sebelah dalam.
"Namun sebaik Bambang memegang batu, dia menjerit 'karan' sebanyak dua kali sebelum melihat mereka berdua terdiam kaku tak bergerak. Kami cuba memanggil mereka beberapa kali tetapi tidak dijawab.
"Kami hanya mampu melihat mereka sahaja tanpa dapat membantu apa-apa kerana khuatir terkena arus elektrik," katanya.
Sumber: Harian Metro