Pelakon baru (4 tahun), Shah Hazvee, 23, meluahkan hasrat untuk membuka 'Pub Halal' yang tidak akan menghidangkan sebarang minuman bercampur alkohol, lapor Astro Gempak.
Menurut Shah, dekorasi dan barangan dalam pub miliknya itu kelak akan kelihatan seperti pub lain yang pernah dilihat, tetapi dia mahu mengetengahkan konsep halal.
"Saya mahu buka pub halal kerana mahu menarik golongan muda yang selalu melepak di pub lain yang menghidangkan minuman beralkohol," katanya.
Jelas Shah, dia sebelum ini pernah pergi ke pub untuk mengkaji dan hasil dari kajiannya mendapati, kebanyakan golongan muda yang pergi ke pub hanya mahu melepak dan menikmati 'vibes' di pusat hiburan itu.
"Saya sendiri telah pergi ke pub lain untuk mengkaji. Sebenarnya kebanyakan golongan muda yang pergi ke sana hanya mahu lepak dan menikmati 'vibes' di tempat itu.
"Jadi, dengan membuka pub halal ini, saya masih mengekalkan 'vibes' sebuah pub. Namun tiada minuman beralkohol dihidangkan. Sedikit sebanyak ia dapat mengelakkan golongan muda dari meminum arak," katanya.
Sumber: Astro Gempak