Loading...
TR

'Mereka berkongsi wang beli minuman keras' - PPD Kuantan nafi dakwaan pelajar mabuk


Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohamad Razali Mustafar mempersoalkan bagaimana tiga pelajar terbabit boleh mendapatkan minuman keras sedangkan pelajar terbabit jelas sekali masih di bawah umur. 

Beliau turut mempersoalkan tindakan pekedai yang membenarkan pelajar membeli minuman keras itu. 

Mohamad Razali berkata, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk mengumpul maklumat dan seterusnya mengambil tindakan terhadap premis tersebut jika benar mereka menjual minuman keras itu kepada pelajar. 

Mengikut undang-undang Malaysia, penjualan minuman beralkohol kepada mereka yang berusia 21 tahun ke bawah adalah dilarang sama sekali. 

Dalam pada itu, Mohamad Razali turut menolak dakwaan pelajar terbabit kononnya dia telah dipaksa minum minuman keras yang dicampur dengan Coke sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri. 

Ini kerana, berdasarkan keterangan yang diambil dari dua rakan pelajar terbabit, mereka berkongsi wang untuk membeli minuman keras itu di sebuah pasar raya berhampiran kerana mahu mencuba minuman itu pada jam 11.20 pagi. 

"Mereka kemudiannya masuk ke kawasan sekolah dan mendapati perhimpunan sesi petang sedang berlangsung sebelum mengambil keputusan untuk melepak di belakang sekolah dan minum minuman keras itu sebelum salah seorang daripadanya tidak sedarkan diri," katanya. 

Difahamkan, ketiga-tiga pelajar itu tidak mempunyai sebarang masalah disiplin dan akan diberi kaunseling berbanding memberikan hukuman. 


LAPORAN BERKAITAN

About Cite Malaya

Powered by Blogger.