Minggu lalu, viral di media sosial klip video seorang wanita memarahi pekerja restoran The Chicken Rice Shop (TCRS) Alamanda, Putrajaya kerana tidak mengambil pesanan mereka selepas menunggu 10 minit.
Ekoran kes itu, tiga kakitangan pengurusan tertinggi TCRS bertemu dengan isteri komposer terkenal itu, Datin Nona, bagi memohon maaf dan menjernihkan semula keadaan.
Pengurus Latihan Perkhidmatan Pelanggan, Julia Mohamed Noor, juga kesal dengan kejadian itu memohon maaf atas perbuatan kakitangannya itu yang juga pengurus TCRS cawangan Alamanda.
"Kami minta maaf. Kami sangat prihatin dengan apa yang berlaku. Sudah tentu pihak kami takkan biarkan sahaja insiden itu. Nak viral, virallah, kami bukan macam tu.
"Kami sudah bertemu dan dengar penjelasan dia. Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak sebab kami mahu bersikap adil kepada sesiapa sahaja. Pelanggan amat penting tidak kira siapa pun mereka.
"Jika tindakan segera sudah diambil sebaik sahaja insiden itu viral. Kakitangan itu juga sudah diberikan kaunseling. Kami ambil positif maklum balas datin. Ia amat penting untuk membantu kami memperbaiki mutu perkhidmatan kami," katanya memetik laporan dari mStar Online, Khamis.
Sementara itu, Pengurus Latihan Kumpulan dan Perhubungan TCRS, Badrul Hisham Mohd Zahir berkata, TCRS sebenarnya tidak mengamalkan sistem beratur pada waktu biasa. Pelanggan hanya perlu beratur apabila restoran penuh dengan pelanggan.
"Bila ada kosong, mereka boleh masuk sahaja. Tunggu staf bersihkan meja, duduk dan kemudian pesanan mereka akan diambil.
"Jadi kami amat kesal. Insiden ini tidak seharusnya berlaku.
"Bagi saya, pengurus perlu tengok kes demi kes. Ia mudah, semuanya mengenai logik akal. Jadi kami harap insiden seperti ini tidak akan berulang lagi," katanya.
Datin Nona turut memohon maaf dan mengakui emosi apabila dilemparkan dengan kata-kata mereka tidak akan dilayan jika masuk tanpa beratur.
"Saya mak-mak jadi bila dah sampai mak-mak punya level tu memang mengamuklah, lebih-lebih lagi bila dengar perkataan kalau masuk kami tak layan.
"Memang saya marah. Tapi apa pun saya minta maaf. Saya bukan niat nak viralkan video tu untuk popular. Saya sendiri terkejut dan tak jangka video itu mencecah 1.6 juta tontonan.
"Niat saya hanya mahu kedai ini perbaiki kelemahan sistem perkhidmatan mereka. Rata-rata penduduk di Putrajaya suka nasi ayam di sini. Jadi apa kata lakukan penambahbaikan untuk keselesaan semua," katanya.
Sumber: mStar Online
LAPORAN BERKAITAN