Seorang juruteknik yang terdesak dengan keluarga pengantin perempuan meminta wang untuk melangsungkan majlis perkahwinan mereka bertindak membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun RM10,000 oleh dua lelaki dalam kejadian di Perai Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid hari ini berkata lelaki berumur 45 tahun itu membuat laporan polis mendakwa dia disamun dua lelaki menaiki sebuah motosikal kira-kira pukul 10.30 malam ketika melalui sebuah kilang percetakan.
"Juruteknik itu berkata semasa kejadian dia sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah sebelum dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ menyamunnya dan melarikan beg silang miliknya yang mengandungi wang tunai RM10,000 serta pelbagai dokumen peribadi," katanya di sini.
Katanya berdasarkan keterangan lelaki itu, polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian namun pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan itu mendapati tidak berlaku sebarang kejadian samun di situ.
Beliau berkata keterangan yang diberikan lelaki itu juga mencurigakan dan polis kemudian menahan mangsa selepas dia mengaku membuat laporan palsu berikutan kesempitan wang dan mahu menangguhkan majlis perkahwinannya.
"Menurut juruteknik itu, keluarga pihak perempuan telah meminta wang untuk persiapan majlis perkahwinan yang berlangsung 25 Ogos ini menyebabkan dia berasa tertekan dan bertindak membuat laporan polis palsu mengatakan wang untuk majlis perkahwinan telah disamun. Dia telah bernikah dengan isterinya pada 15 Jun lepas," katanya.
Nik Ros Azhan berkata siasatan lanjut mendapati juruteknik itu pernah membuat laporan palsu pada 2010 dan dia kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Sumber: Bernama