Loading...
TR

'Dia minta saya berbohong' - Haziq dedah hubungan di Hotel Fourpoint bukan kali pertama


Pendedahan demi pendedahan, hari ini Haziq Abdullah Abdul Aziz mendedahkan bahawa hubungan seks sejenisnya dengan menteri itu di Hotel Fourpoint, Sandakan, bukanlah kali pertama. 

"Pertama kali di Grand Continental Kuching, tiga tahun lalu, kemudian di Pullman Kuching semasa Pemilihan Parti (PKR) pada Oktober lalu. 

"Kami sekali lagi melakukannya di Hotel Grand Hyatt KL semasa tugasan kamu selaku Menteri Pengiring kepada Sultan Brunei pada Mac 2019 dan bulan lalu di Fourpoint Sandakan," katanya. 

Dalam pendedahan yang dilakukan di Facebook hari ini, Haziq menyedari dia dituduh mempunyai agenda politik oleh Perdana Menteri selepas membuat pengakuan bersumpah itu. Malah, Setiausaha Politik kepada Azmin Ali, Hilman Idham juga ada bertemu dengannya di sebuah restoran di Putrajaya. 

"Dia (Hilman) paksa saya untuk menafikan bahawa diri saya dalam video yang tular itu dan meminta saya berbohong untuk dirinya. 

"Saya mohon lebih masa untuk merujuk kepada ibu bapa saya dan ini menimbulkan kemarahannya. 

"Selepas saya menolaknya, dia membuat ugutan dan berkata, 'ini' akan berakhir dalam 48 jam dengan atau tanpa bantuan saya untuk berbohong," katanya. 

Haziq mendakwa, video itu dirakam oleh Azmin, tanpa kebenaran sebagai koleksi peribadi. 

"Saya sedari kamu lelaki yang sakit kerana hanya kamu yang boleh merakam video-video itu sebagai koleksi peribadi selepas menjemput saya ke bilik hotel pada semua kejadian," katanya yang juga kini bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga. 

Sementara itu, Hilman mengakui ada bertemu dengan Haziq sebelum Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu membuat pengakuan bersumpah bahawa dia memang terlibat dalam aksi seks bersama menteri itu. 

Bagaimanapun, Hilman enggan mengulas lanjut mengenai isi pertemuan mereka. 

"Tak apa, saya dah serahkan semua kepada pihak polis. Kita biar polis siasat," katanya. 

Difahamkan, Hilman membuat laporan polis di IPD Putrajaya. 

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hasan mengesahkan menerima laporan itu dan merakam percakapan Hilman yang diserahkan kepada pegawai penyiasat dari Bukit Aman. 

Selain itu, Hilman turut membuat aduan qazaf di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Putrajaya bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap penyebaran video viral itu.

Sumber: MalaysiaKini

About Cite Malaya

Powered by Blogger.