Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilapor menghilangkan diri dari rumahnya di Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam, sejak jam 5 petang 10 Jun lalu.
Pengawal Keselamatan, Norizan Bidin, 49, berkata, anak kedua daripada enam beradik, Fatin Nur Nadia, sudah genap seminggu dilaporkan hilang, membuatkan keluarganya tidak tenteram.
Pelbagai usaha yang dilakukan untuk mengesan Fatin termasuk hebahan di media sosial dan mencarinya di kawasan sekitar Pasir Gudang, Gelang Patah dan Melaka selepas menerima maklumat orang ramai, tetapi tidak membuahkan hasil.
"Sudah hampir seminggu saya hanya tidur-tidur ayam kerana apabila dihubungi individu yang memberi maklumat berkaitan Fatin, saya terus keluar mencarinya tanpa mengira dekat atau jauh.
"Bagaimanapun sehingga kini semua maklumat diberikan kurang tepat, namun saya masih tidak berputus asa kerana tanpa Fatin, saya dah ahli keluarga merasakan kekurangan," katanya.
Menurut Norizan, sebelum menghilangkan diri, Fatin tidak pernah menceritakan masalah yang dialaminya. Kehilangannya secara tiba-tiba membuatkan dia sangat tertekan dan keliru kerana tidak mengetahui punca anak perempuannya itu menghilangkan diri.
"Saya berhutang dengan kenalan semata-mata untuk membelikan telefon bimbit buat Fatin, beberapa hari sebelum hari raya bagi memenuhi kehendaknya.
"Kami memang orang susah dan saya tidak mampu menyediakan kemudahan lengkap untuk anak-anak. Namun saya menyayangi semuanya termasuk Fatin.
"Biarpun kesempitan wang, saya sanggup berhutang dengan kenalan semata-mata bagi memenuhi kehendaknya kerana saya sedar dia juga mempunyai keinginan seperti remaja lain.
"Dia masih di bawah tanggungjawab saya. Apa juga perbuatan atau langkah diambil, kami perlu jawab di akhirat nanti.
"Saya tidak mahu dia keciciran sekolah dan apa-apa kejadian yang tidak diingini menimpanya. Kami bersedia memaafkannya dan hanya berharap Fatin menghubungi saya secepat mungkin.
"Kami berharap Allah membuka matanya dan menunjukkan jalan yang benar demi kebaikannya," katanya.
Justeru, Norizan meminta bantuan orang ramai untuk mengesan anaknya dan boleh menghubunginya di talian 013-2924174.
Sumber: Harian Metro