Tiga sekeluarga ditahan bagi membantu siasatan kes mendera dan memukul dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan berusia tujuh dan lapan tahun di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong, Serdang tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan berkata bertindak atas laporan yang diterima, polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar gas berusia 33 tahun bersama isteri dan anak perempuannya, masing-masing berusia 30 dan 13 tahun.
"Siasatan mendapati kedua-dua mangsa tinggal bersama ketiga-tiga mereka sejak tujuh tahun lalu selepas ditinggalkan ibu bapa mereka yang sudah bercerai.
Kedua-dua mangsa mengalami kesan dera hampir di seluruh badan selain dipercayai mengalami kurang zat badan," katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Serdang.
Menurutnya permohonan reman untuk ketiga-tiga suspek akan dilakukan esok di Mahkamah Petaling Jaya.
Sumber: Bernama