Loading...
TR

2 penumpang terakhir mengaku membunuh pemandu Grab


Susulan penemuan mayat pemandu Grab yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu yang dipercayai dibunuh sebelum dibuang ke kawasan semak di pantai Kampung Shahbandar, Tuaran, polis telah menyiasat dan menahan dua penumpang terakhir yang menggunakan perkhidmatan mangsa. 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammmah berkata, bertindak di atas maklumat hasil kerjasama dengan pihak Grab, polis telah mengesan dan menahan dua lelaki terbabit di kawasan parkir 1 Borneo di Kota Kinabalu pada jam 9.50 malam tadi. 

Hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek telah mengaku membunuh mangsa sebelum membuang mayatnya ke kawasan semak. Suspek terdahulu menggunakan khidmat mangsa yang menjemput mereka dari Kingfisher ke Tuaran. 

Kedua-dua suspek yang berusia 20 tahun (menganggur) dan salah seorang mereka merupakan warga asing. 

"Siasatan juga mendapati sejumlah wang milik mangsa hilang, manakala barang lain masih dalam siasatan. Polis akan memohon reman hari ini ke atas kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut. 

"Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hingga tiga hari lalu berdasarkan keadaan tubuhnya yang mula membengkak dan kita percaya kejadian berlaku pada 24 Mei lalu. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. 

Difahamkan, pihak polis masih menjalankan proses pengecaman ke atas mayat mangsa bagi memastikan mangsa itu adalah pemandu Grab yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu. 

Ahli keluarga pemandu Grab juga telah dipanggil untuk pengecaman tetapi gagal berbuat demikian kerana keadaan mayat mangsa yang mulai mereput. Polis kemudian menggunakan kaedah lain menggunakan cap jari dan DNA untuk mengenal pasti mayat itu adalah pemandu Grab berkenaan. 

LAPORAN BERKAITAN

About Cite Malaya

Powered by Blogger.