Kata orang, tiada apa yang mustahil sekiranya anda mempunyai sahabat yang baik menyokong anda di kala anda menghadapi kesusahan.
Seorang murid lelaki OKU di China mampu mengikuti rutin harian persekolahan selama enam tahun tanpa menghadapi sebarang masalah dengan bantuan rakan karibnya yang selalu mendukungnya setiap hari.
Xu Bingyang, 12, selalu mendukung Zhang Ze ke sekolah tak kira hujan atau panas selain membantu membelikan makanan tengah hari dan bergerak satu satu kelas ke kelas lain.
Persahabatan di antara dua kanak-kanak dari bandar Meishan, selatan barat China ini juga disiarkan dalam media tempatan.
Xu, yang lebih tinggi dan tegap berbanding Zhang berkata kepada media bahawa dia tidak kisah untuk membantu rakan karibnya yang serba kekurangan itu. Malah katanya, bukannya sukar untuk dia mendukung Zhang.
"Berat saya 40 kg dan Zhang pula hanya 25 kg, jadi tiada masalah untuk saya dukung dia," kata Xu.
Sementara itu, Zhang sangat berterima kasih di atas bantuan dan kemuliaan Xu.
"Xu adalah kawan baik saya. Setiap hari dia belajar dengan saya, berbual dengan saya dan bermain dengan saya. Saya berterima kasih kepada dia yang selalu membantu saya setiap hari," kata Zhang.
Xu dan Zhang adalah murid Tahun 6 di Sekolah Rendah Pusat Bandar Hebazi di Daerah Qingshen.
Keadaan itu menyebabkan Zhang hilang upaya untuk mengawal otot di kakinya, sekali gus tidak mampu untuk berjalan.
Mujur kehadiran Xu yang mahu membantunya membolehkan Zhang bersekolah seperti kanak-kanak yang lain, sejak mereka bertemu di Tahun 1.
Bagi Xu, adalah kewajiban untuk dia membantu mereka yang memerlukan bantuan.
"Saya besar daripada dia. Kalau saya tak tolong dia, tiada sesiapa yang akan bantu," katanya yang juga mahu terus membantu golongan susah apabila dia dewasa kelak.
Sumber: Daily Mail