Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan khalwat bersama suami orang dalam serbuan di rumah sewa di Taman Kuchai, Rabu lalu, selepas menerima maklumat mengenai pasangan terbabit.
Ketua Pegawai Agama Daerah Kulim (PADK), Anwar Sharifudin Mat berkata, dia bersama dengan tiga lagi anggota penguat kuasa terdahulu menerima maklumat pada jam 3:16 petang sebelum melakukan serbuan itu di premis itu.
"Selepas memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa PADK, seorang lelaki berusia 26 tahun membuka pintu rumah tanpa berbaju.
"Kami membuat pemeriksaan di bilik belakang tetapi berkunci dan terpaksa memecahkan pintunya sebelum menemui seorang perempuan yang sedang menyorok di belakangnya.
"Mereka berdua mengaku pernah terlanjur sebelum ini," katanya.
Pasangan itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan akan didakwa di mahkamah.
Sumber: Sinar Harian