Seorang wanita berusia 22 tahun dirogol dan dibunuh oleh seorang kakitangan hospital di Pakistan, selepas mangsa datang ke institut perubatan itu untuk mendapatkan rawatan sakit gigi, lapor Daily Mail.
Mayat mangsa, Asmat Junejo, ditemui oleh ibunya di Hospital Korangi, pada 18 April lalu.
Ahli keluarga mangsa pada awalnya dimaklumkan, Asmat meninggal dunia kerana alah pada antibiotik tetapi laporan bedah siasat pula mendedahkan terdapat bukti mangsa telah diserang secara seksual dan dibunuh.
Ibu mangsa dimaklumkan oleh pihak hospital, keadaan anaknya pada ketika itu adalah teruk, biarpun pada awalnya mangsa datang ke hospital itu kerana sakit gigi.
Kemudian dia dimaklumkan, anaknya dipindahkan ke Jinnah Postgraduate Medical Centre. Namun maklumat yang diberikan itu tidak benar dan ibunya mula mencari anaknya di hospital tersebut dan menemui Asmat terbaring tidak bernyawa di pengusung di belakang sebuah bilik.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan empat pegawai perubatan termasuk seorang doktor disyaki merogol dan meracuni mangsa.
Ketua Menteri Sindh, Murad Ali Shah, mengarahkan pihak polis mengambil tindakan segera terhadap suspek yang telah ditahan.