Loading...
TR

'Disebabkan tiada wang RM300, pihak pengurusan enggan uruskan jenazah bayi kepada lelaki ini'


Astaghfirullah al'azim. Alangkah sedihnya dengan nasib lelaki ini apabila pihak yang sepatutnya membantu enggan menguruskan jenazah bayinya kerana dia tidak mampu menjelaskan kos RM300. 

Namun, dia bernasib baik apabila aktivis gerakan Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol, 34, tampil membantu si bapa menguruskan jenazah bayinya sehingga selesai termasuk kos pengebumian berkenaan. 

Difahamkan, lelaki itu yang bekerja sebagai pembantu gerai makan, baru kehilangan bayi lelakinya yang dilahirkan tidak cukup bulan meninggal dunia sebaik dilahirkan di hospital malam tadi. 

Bayi berkenaan meninggal dunia selepas isterinya terjatuh di dalam tandas dan menyebabkan keguguran. 

Mohd Zulhairi berkata, dia terdahulu dihubungi oleh wakil sebuah hospital pagi tadi berhubung pasangan suami isteri itu tidak mempunyai wang mencukupi untuk mengebumikan jenazah bayi mereka. 

"Ketika saya berjumpa dengannya, lelaki itu mulanya bertanya berapa jumlah bayaran yang saya kenakan (membantu menguruskan jenazah). Saya terharu dan sedih sebelum menyatakan saya lakukannya secara ikhlas tanpa mengenakan bayaran. 

"Terus lelaki itu memeluk saya sambil memegang jenazah bayinya dan menangis," katanya. 

Dia kemudian mengambil jenazah bayi itu bagi urusan memandi, mengafan dan mengebumikannya.

Mohd Zulhairi kemudian membawa lelaki itu bersama jenazah bayinya ke Tanah Perkuburan Sungai Tangkas di Bangi untuk urusan pengebumian. 


Di situ, dia berbual dengan lelaki itu yang memaklumkan pihak pengurusan surau berkenaan meminta dia membawa jenazah bayinya pulang semula ke hospital selepas dimaklumkan dia tidak mempunyai wang yang mencukupi. 

Lelaki itu memaklumkan dia hanya ada RM150, namun pihak pengurusan jenazah itu meminta bayaran RM300. 

"Saya sebak dan sedih apabila mendengar kisahnya itu sedangkan urusan yang sepatutnya didahulukan adalah urusan pengebumian dan bukan urusan kewangan.


"Sepanjang itu, hanya RM60 sahaja yang saya keluarkan bagi proses menggali dan mengebumikan mayat bayi lelaki berkenaan. 

"Paling sedih kerana sebagai orang Islam, urusan pengebumian itu sepatutnya didahulukan dan menjadi kewajipan sesama Islam untuk saling membantu, namun itu tidak berlaku," katanya. 


Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.