Puas si isteri mengajaknya berubah, tetapi suami enggan peduli dan hanyat dengan dunianya sendiri. Dalam masa sama seringkali berfoya-foya di luar meskipun tahu isterinya mengandung anak sulung. Kerana bagi si suami, isterinya tetap akan setia dan tidak akan berani meninggalkan dia.
Bila kantoi punyai hubungan dengan perempuan lain, si suami beri alasan dia sekadar menggatal, bukannya sampai nak berkahwin dengan perempuan itu. Isterinya kecewa, hanya mendiamkan diri dan dalam masa sama makan hati.
SALAM min. Tolong hidekan profile ye. Nama saya Amir, ada isteri namanya Zulaikha. Saya berkahwin dengan Zulaikha sudah lima tahun. Anak baru seorang. Apa yang saya ceritakan ini saya harap ia dapat menjadi pengajaran buat golongan suami seperti saya di luar sana. InsyaAllah.
Zulaikha berasal dari keluarga susah. Ibubapanya sudah bercerai berai dan dia seorang yang tak berapa tahu sangat ajaran agama sebelum berkahwin dengan saya. Saya berkenalan dengan dia sebagai kawan pada mulanya. Oleh kerana saya ini baru ditinggalkan kekasih hati pada ketika itu, saya terdesak dan terus mengajak dia untuk berkahwin.
Saya tidak menyangka dia akan bersetuju dan dia kenakan hantaran pada saya hanya RM5,000 sahaja. Masa itu saya kata dalam hati, "Murahnya engkau ni".
Memang masa kami bertunang, kami jarang bersama, jarang berjumpa tetapi setiap hari aku SMS dia. Dia akan beritahu dia pergi lepak dengan kawan-kawan dia. Bila aku jumpa dia, dia memang tak pernah tidak pernah bermesej dengan lelaki lain kecuali aku. Memang betullah perempuan ini fitrah dia seorang yang setia.
Berbeza dengan aku yang berasal dari keluarga kaya, ibubapa orang yang dikenali. Adik beradik aku dua orang sahaja. Apa yang aku minta, ibubapa akan tunaikan. Jadi, aku pun tak nak sambung belajar. Apa kerja yang merkea bagi pun aku tak nak pergi. Tetapi bila umur dah meningkat masuk 30-an, aku dah bekerja dan sekarang aku seorang penjawat awam yang gajinya hanya RM1,500 sebulan (basic).
Berlainan dengan isteri aku. Walaupun dia begitu, dia rajin bekerja sampai sekarang dia dah menjadi seorang boss dan gaji dia lebih besar dari aku. Padahal dia lebih muda lima tahun dari aku.
Selepas kami berdua berkahwin, aku menetap di rumah orang tua aku. Alasannya aku tak ada duit nak menyewa rumah. Walaupun hakikatnya aku ada duit. Aku suruh bini aku bertahan untuk setahun dua sahaja sampai aku ada duit. Walau kadang-kadang dia kata dia boleh gunakan duit dia. Tapi biasalah kita suami mesti ada ego. Jadi, aku cakap tak payah.
Hampir dua tahun berkahwin masih tak pindah keluarga. Isteri aku terus jadi marah dan dia tidak mahu duduk di rumah itu lagi sebab setiap kali kitorang bergaduh, ibubapa aku akan masuk campur dan menyalahkan Zulaikha. Aku memang takkan pertahankan Zulaikha sebab aku tak nak ibubapa aku tak bagi aku duit lagi selepas ini.
Kitorang selalu bergaduh sampai aku pun dah pandai menjerit pada dia. Aku banyak kali mengungkit dia dan keluarga dia memang tak ada agama, tak tahu hormat orang. Padahal selepas kahwin, boleh nampak dia yang banyak sembahyang daripada aku. Bila dia minta aku mengajar dia mengaji, aku selalu tolak dan beri alasan penat. Sampailah lima tahun ini.
Akhirnya dia mengandung dan masih lagi duduk di rumah ibubapa aku. Sekarang dia banyak berdiam diri. Sebenarnya kitorang selalu bergaduh dan puncanya daripada aku yang selalu menggatal dengan perempuan lain. Banyak kali aku kantoi dengan dia tetapi aku tak nak mengaku salah pun. Aku cuma cakap pada dia yang aku hanya menggatal saja, bukan sampai nak kahwin pun dengan perempuan itu. Hahaha! Bodoh kan aku?
Kalau korang nak tahu, sejak dia berkahwin dengan aku, dia terus memakai tudung menutup aurat. Sebelum kahwin dia memang seorang yang seksi. Tetapi selepas kahwin, penampilannya berubah. Dia lain daripada apa yang aku kenal dulu.
Dia selalu cakap dengan aku, "Abang nak masuk syurga tak? Kalau nak, abang bahagiakan sayang dan setia dengan sayang. InsyaAllah abang pun bahagia."
Banyak kali dia cakap macam tu tetapi aku buat bodoh saja sebab bagi aku dia memang dah sayangkan aku dan memang takkan berani tinggalkan aku. Tapi aku silap dan tak sangka, akhirnya dia tinggalkan aku juga.
Besar kuasa Allah yang aku tak tahu. Pada hari dia melahirkan anak aku, 2 Januari 2019, dia telah pergi selepas melahirkan puteri kami, Aaisya. Masa doktor beritahu yang dia sudah tiada, jantung aku tiba-tiba terhenti, pitam, rasa dunia gelap. Mak aku tak habis-habis suruh aku azankan puteri kami. Tapi aku tak boleh bergerak. Ya Allah, cakap dengan aku ini hanya mimpi, kenapa aku rasa begini. kenapa beratnya dugaan ini.
Bila doktor suruh aku uruskan pengebumian dan bolehlah tengok muka isteri. Ya Allah, aku tak sanggup. Aku jalan perlahan-lahan, air mata tak berhenti. Dari jauh aku nampak wajah dia yang cantik, bersih dan kepenatan. Aku hanya mampu cakap di telinganya,
"Abang redhakan Zulaikha pergi. Abang halalkan makan minum Zulaikha. Abang ampunkan semua dosa Zulaikha pada abang.."
"Abang redhakan Zulaikha pergi. Abang halalkan makan minum Zulaikha. Abang ampunkan semua dosa Zulaikha pada abang.."
Aku tak mampu berkata apa-apa lagi kecuali mendiamkan diri kerana terlalu sedih.
Zulaikha seorang isteri yang baik, bidadari syurga aku. Sekarang dah tiga bulan arwah sudah tiada dan aku membesarkan Aaisya dan dialah menjadi pengubat rindu aku pada Zulaikha. Setiap masa aku merindukan dia, rindukan cara dia melayani aku seperti raja, rindu pada masakannya. Walaupun dia balik kerja jam 9 malam, dia tak pernah tak masak untuk aku. Dia lakukan semua tanggungjawab dia dengan sempurna.
Bodohnya aku selama lima tahun, aku sibuk melayan nafsu menggatal dengan perempuan lain. Aku tak menghargai dia. Sekarang dia dah tak ada, setiap saat aku terbayangkan wajah dia. Setiap doa abang ada namamu Zulaikha.
Zulaikha ada satu buku kewangan yang mana dia seorang yang sangat disiplin. Dalam buku itu banyak pengiraan gaji-gaji dia ke mana setiap bulan dan aku terkejut, separuh gaji dia hanyalah untuk bersedekah semata-mata pada ibubapa dia, adik beradik dia. Sedangkan itu semua tanggungjawab aku. Sampai aku bagi dia nafkah RM100 atau RM50 pun dia tak pernah menyoal. Malah mendoakan rezeki aku.
Makan minum pakai aku semua dia belikan sebab bila dia minta dari aku, aku cakap tak ada duit. Dia hanya mengangguk dan esoknya dah ada dah dia beli sendiri. Hujung bulan bila dia tak ada duit, dia akan minta dari aku tapi aku mesti akan tanya mana duit gaji dia semua dan marah kenapa dia tak simpan. Padahal semua tanggungjawab aku dia yang buat. Ya Allah.
Bila aku tengok buku ini baru aku tahu ke mana duit dia pergi selama ini.
"Zulaikha, maafkanlah abang. Abang gagal membimbing Zulaikha. Abang sia-siakan kesetiaan Zulaikha. Sekarang tiada yang dapat menggantikan Zulaikha. Abang hanya mahu bersama Zulaikha semula untuk tebus segala dosa-dosa abang. Tunggulah abang. Abang akau jaga anak kita macam yang Zulaikha nak.
"Zulaikha nak abang jadikan anak kita polis kan? Sebab Zulaikha selalu kata nak Aaisya jadi polis sebab itu cita-cita Zulaikha kan sayang? Abang selalu doakan Zulaikha. Terima kasih ajarkan abang erti cinta dan rindu walaupun abang ni suami yang jahil. Tapi Zulaikha tak pernah tinggalkan abang. Syurgalah buat isterinya Zulaikha, bidadari syurgaku."
Kepada suami-suami di luar sana, aku tahu kita lelaki ini nafsu menggatalnya adakalanya tidak terkawal. Tapi percayalah kata aku, jagalah solat, ingat isteri dan wajah isteri selalu. InsyaAllah kita akan dapat kawal dan bahagia.
Sumber: Kisah Rumah Tangga