Wanita seringkali dikatakan obses dengan kecantikan. Walaupun banyak kos yang telah dilaburkan untuk membeli produk-produk yang membanjiri pasaran tempatan, itu tidak menjadi penghalang buat mereka asalkan kelihatan cantik.
Tetapi di sebalik keinginan tersebut, mereka sepertinya alpa dengan kesan padah yang bakal diterima mereka. Penjual produk mengaut keuntungan, tetapi mereka menanggung kesakitan.
Derita kesakitan yang ditanggung oleh wanita ini dikongsikan di Facebook. Walaupun pada awalnya sudah menunjukkan tanda-tanda sakit selepas mengamalkan jamu, wanita ini pula beralih kepada produk lain. Selepas mengalami masalah haid, doktor telah mengesahkan terdapat fibroid di dalam rahim.
DULU sebelum berkahwin, saya suka betul mencuba jamu. Kalau boleh, saya nak saja beli jamu dari semua peniaga yang menjual jamu. Tapi saya hanya sempat beli dari seorang penjual jamu.
Setiap malam saya minum jamu itu tanpa gagal dan kesannya setiap malam saya terasa mahu kencing. Belum lagi habis sebotol, Saya teruskan mengamalkan minuman itu, Tapi tak sampai lima saat, saya terpaksa pergi ke tandas untuk membuang air kecil.
Kebetulan saya pula belajar tentang perubatan. Jadi kalau setiap malam terasa nak kencing itu petanda bahawa ada masalah di bahagian rahim atau tanda-tanda awal kanser.
Jadi, saya pun bertanyalah kepada penjual jamu itu kenapa bila malam saja asyik terasa nak membuang air kecil. Dia kata itu adalah perkara normal. Saya pun bodoh juga pada masa itu, pergi beli lagi. Saya beli sebab warna kulit saya sememangnya putih sedikit selepas mengamalkan jamu tersebut dan warna kulit saya sememangnya sedia ada putih. Tak tahu nak putih macam mana lagi. Nak jadi halimunan agaknya.
Dua hingga tiga botol jamu saya minum dan anamalan itu semakin menjadi-jadi. Tidak cukup masa, siang pun sikit-sikit pergi ke tandas sampai pengajar pun terpaksa mengizinkan saya keluar ke pergi ke tandas
Tengok masa belajar pun terbuang lima minit. Bayar yuran beribu-ribu daripada 100 peratus masa belajar itu hampir 30 peratus masa untuk pergi membuang air kecil.
Saya terus berhenti mengamalkan jamu dan selepas berhenti. Hasilnya, tiada lagi terbangun untuk kencing di waktu malam.
Tamat pengajian, saya bekerja separuh masa di Guardian. Di sana lagi banyak kolagen yang mempunyai pelbagai jenis yang membuatkan mata saya menjadi rambang. Saya tengok ramai juga orang yang beli kolagen itu cantik-cantik, lalu nak mencuba.
Saya pun beli kolagen yang paling mahal di Guardian. Setiap malam minum kerana mahu cantikkan kulit sebelum kahwin. Saya mahu kulit saya bersinar-sinar seperti berlian. Kakak saya ini pun ikutlah minum sebab dia pun nak cantikkan kulit dia.
Tiga bulan kami minum kolagen tapi saya tengok kulit saya tiada perubahan juga, masih sama. Darah haid saya juga semakin banyak. Darah tak sampai satu jam dah penuh. Satu hari kena pakai 12 keping tuala wanita yang jenis overnight. Saya biarkan saja kerana menyangka itu perkara biasa yang berlaku mengikut peredaran umur.
Empat bulan kemudian selepas mengamalkan minuman kolagen, saya pun berkahwin. Selepas saja bersanding, saya terus uzur. Gembira terus hati, bolehlah merancang mahu mendapatkan anak segera.
Tunggu punya tunggu, haid tak berhenti-henti sampai 16 hari dan ketulan-ketulan darah masih keluar. Saya pun mencari maklumat melalui Google mengapa perkara itu berlaku. Bila baca, simptom-simptom itu ada berkaitan dengan kanser ataupun ada fibroid di dalam rahim.
Saya pergi ke klinik swasta dan minta rahim di scan. Doktor kata ada fibroid di dalam rahim sepanjang lima sentimeter tetapi menurutnya, fibroid tidak berbahaya. Doktor beri ubat untuk menghentikan pendarahan.
Selepas itu, haid pun berhenti. Saya gembira, dalam hati kata dah boleh nak dapatkan anak. Namun bulan berganti bulan, tiada sebarang petanda. Sampailah satu hari itu saya mengalami demam, selesema selama dua minggu dan sentiasa mengantuk.
Masa kerja pun mengantuk, mujurlah kawan sekerja memahami. Masa itu jaga mesin FBC, saya cubalah periksa darah untuk menguji mesin. Sekali keputusan HB rendah, darah hampir separuh.
Saya pergi ke hospital, ditahan selama tiga hari dan dimasukkan darah dua beg. Setiap bulan perlu mengambil ubat di hospital untuk mengurangkan pendarahan. Dalam tempoh enam bulan itu juga terpaksa berulang-alik ke hospital untuk memeriksa fibroid, tetapi sama saja.
Sampai satu masa itu saya datang haid selama sebulan dan jumlah darahnya juga banyak serta ketulan-ketulan darah yang keluar sebesar saiz dua duit syiling 50 sen (lama). Semakin lama ia semakin menjadi dan badan mengalami demam panas, pening kepala serta tercunggap-cunggap.
Saya minta doktor di tempat kerja untuk scan saya semula dan keputusannya menunjukkan fibroid itu membesar kepada tujuh sentimeter. Saya terus disuruh pulang dan pergi ke hospital.
Petang itu saya terus pergi ke hospital berjumpa dengan Dr Thoka untuk di scan sekali lagi. Dr Thoka kata, fibroid tutup rahim sebab itulah saya tidak mengandung dan hanya darah yang banyak saja keluar.
Saya terus dimasukkan ke wad dan dimasukkan darah satu beg. Keesokkan harinya terus dibedah. Nasib baik selamat. Dua hari juga saya tidur, kesan dari penggunaan bius.
Kos untuk pembedahan fibroid ini boleh digunakan untuk menganjurkan satu majlis perkahwinan saya. Selepas ini, saya tidak mahu lagi mencuba segala jamu dan kolagen ini. Beli kos tak sampai beribu, tetapi kesan sampingannya hanya Tuhan saja yang tahu.
#saynotojamu
#saynotocollagen
Sumber: Ila Bella