Gara-gara menolak tawaran menyertai dua kumpulan kongsi gelap, seorang remaja berusia 16 tahun dibelasah sehingga cedera parah, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kejadian itu berlaku Jumaat lalu di mana mangsa pada awalnya menunggu rakannya di Jalan Sutera Tanjung 8.3, Taman Ungku Tun Aminah pada jam 3:50 petang.
Mangsa kemudian didatangi sekumpulan lelaki yang memukul dan dibawa menaiki kereta serta diugut dengan pisau sebelum ditinggalkan di sebuah ladang kelapa sawit di Senai dalam keadaan cedera parah.
Siasatan polis mendapati, tujuh lelaki yang melakukan perbuatan itu merupakan kenalan mangsa dari sekolah yang sama.
"Setibanya di satu lokasi, mangsa kemudian dipukul kerana menolak tawaran suspek untuk menyertai Geng 265 dan 21. Mangsa ditinggalkan dengan keadaan parah di bahagian kepala, serta patah jari kedua-dua tangan," katanya.
Susulan kejadian itu, polis giat mengesan beberapa suspek yang disyaki terlibat dan hasilnya tiga suspek berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun berjaya ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar Kulai dan Skudai.
Ketiga-tiga suspek dibawa ke IPD Kulai untuk siasatan, manakala baki suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ini sedang giat dikesan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan.