Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 7 petang Jumaat lalu di Batu Putih, Indonesia, mangsa, Alfani Yeskiel Tuke, 7, ditinggalkan sendirian di rumah, sementara neneknya, Ruth Tse, keluar sebentar untuk memindahkan lembunya yang diikat di padang rumah tidak jauh dari rumah mereka.
Sebelum keluar, Ruth melihat Alfani sedang bermain telefon bimbit di ruang tamu.
Selesai menguruskan haiwan ternakkannya itu, Ruth kembali ke rumah dan mendapati cucunya itu sedang tidur di atas lantai ruang tamu tanpa memakai baju.
Ruth kemudian datang untuk membangunkannya dan terkejut apabila mendapati tangannya terkena renjatan elektrik dan ternampak kesan luka terbakar di dada mangsa, lalu menjerit meminta tolong dari jiran-jirannya.
Salah seorang jiran yang mendengar jeritan Ruth kemudian datang bersama beberapa lagi jiran yang lain, lalu mematikan elektrik kediaman itu dan memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.
Siasatan mendapati, mangsa meninggal dunia kerana terkena renjatan elektrik dari telefon bimbit milik neneknya yang sedang dicas.
Nenek mangsa juga telah memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa mangsa yang berada di Jakarta.