Loading...
TR

Bapa jual bayinya RM35,000 untuk bayar hutang judi

Seorang lelaki ditahan pihak berkuasa China kerana menjual anak perempuannya di media sosial dengan harga RM35,000 bagi menyelesaikan hutang judinya. 

Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Jiang, berasal dari Guiyang, Guizhou berkata, dia terpaksa menjual anaknya kepada sepasang suami isteri kerana dia tidak mempunyai wang dan menganggur.


November lalu, Jiang mengambil anak perempuannya berusia satu tahun dari rumah dan memberitahu isterinya bahawa anak mereka akan tinggal bersama neneknya buat sementara waktu. 

Isterinya, Wang, mula berasa curiga selepas dia tidak mendengar sebarang berita mengenai anak perempuannya itu hampir tiga bulan. 

Setiap kali Wang bertanya kepada suami di mana anak perempuannya, Jiang akan memberikan alasan untuk membawa anaknya pulang. 

Sehinggalah satu hari di bulan Februari, Wang memeriksa telefon bimbit Jiang dan terkejut apabila membaca perbualan Jiang bersama pasangan yang membeli anak perempuannya itu. 


Pada hari yang sama, Wang terus pergi berjumpa dengan ibu mentuanya yang kemudian memberitahu bayi itu telah diambil dari dia beberapa minggu lalu. 

Wang segera membuat laporan polis selepas mendapati suaminya telah menghilangkan diri. 

Siasatan mendapati, Jiang bersembunyi di sebuah hotel di Guiyang. Selepas ditahan, Jiang mengaku mempunyai hutang judi dan tercetus ideanya untuk menjual anaknya sendiri selepas melihat iklan anak angkat di internet. 

Jiang sanggup berbohong dan memberitahu pasangan yang berminat membeli anaknya bahawa dia tidak mampu membesarkan bayi itu kerana dia telah berpisah dengan isteri serta ibu bapanya juga telah meninggal dunia. 

Selepas itu, Jiang mengambil anaknya dari rumah ibunya pada 5 November dan terbang ke Zhoushan, lebih 1,850 kilometer dari kediamannya. 

Bayi itu berjaya diselamatkan oleh polis pada Jumaat lalu dan telah diserahkan kembali kepada ibunya. 


Sementara itu, Jiang telah ditahan atas dakwaan melakukan pemerdagangan manusia dan siasatan masih dijalankan terhadapnya. 

Sumber: Daily Mail

About Cite Malaya

Powered by Blogger.