Seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditahan di kediamannya di Bandar Baru, Putera Indah Tongkang Pechah, Batu Pahat, susulan penemuan mayat di belakang rumahnya, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, penemuan mayat Zulkifli Musa, 37, di belakang rumah suspek itu sekali gus merungkai kehilangan mangsa sejak 18 Mac lalu.
Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Saya confirmkan memang ada kes itu yang mana kita jumpa mayat dan ada anggota polis ditahan.
"Ujian saringan air kencing dijalankan ke atas anggota mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine ketika tangkapan dilakukan.
"Dia masih bertugas dan pemeriksaan mendapati dia mempunyai kes lampau dan beberapa kes bawah pemerhatian kita," katanya.
Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Polis juga sedang menunggu laporan bedah siasat dari pasukan forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
Mangsa dilaporkan hilang sejak 18 Mac lalu selepas tidak pulang ke rumah.
Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan pemeriksaan di rumah suspek pada jam 5:30 petang semalam dan menemui timbunan tanah merah di belakang rumah.
Pemeriksaan mendapati, ada mayat mangsa di dalam timbunan tersebut.