Loading...
TR

'Ya Allah, saya langsung tidak mempersendakan PASKAL' - Asraf Jaafar


"Ya Allah, saya langsung tidak mempersendakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sumpah! Saya hanyalah peminat cerita PASKAL," demikian kata Asraf Jaafar yang menafikan dakwaan yang mengatakan dia mempersendakan nama baik Pasukan Khas Laut TLDM (PASKAL). 

Dalam penjelasan Asraf yang dimuat naik di Instagramnya sebentar tadi menjelaskan, dia hanya sekadar melakonkan watak seperti dalam filem PASKAL. 

"Saya hanya melakonkan watak seperti cerita PASKAL sebab saya pun minat cerita PASKAL dan semua pun tahu itu hiburan. Sikit pun saya tidak mempersendakan pasal PASKAL. 

"Saya sendiri tak tahu orang nak record saya main Bigo Live. Tapi tak sangka video itu viral," jelasnya. 

Enggan mengeruhkan keadaan, Asraf mengambil keputusan untuk memohon maaf kepada pihak TLDM jika video viral itu telah menyinggungkan mereka. 

"Saya mohon maaf atas kecuaian dan kesilapan saya. Saya tak sangka sampai jadi macam ni. Saya cuma mahu menjadi penghibur," katanya. 


Terdahulu, Harian Metro melaporkan, pihak TLDM kesal dengan tindakan Asraf yang didakwa menyamar dan mempersendakan nama baik PASKAL dalam video viral yang mengundang pelbagai reaksi netizen. 

Dalam laporan itu, Asraf didakwa memperkenalkan dirinya sebagai anggota PASKAL ketika berinteraksi bersama seorang individu yang dipercayai pondan melalui aplikasi Bigo Live. 

Jurucakap TLDM yang dihubungi Harian Metro berkata, pihak TLDM sudah menjalankan siasatan dan mendapati Asraf bukan anggota TLDM atau PASKAL dan tindakannya itu didakwa seolah-olah sengaja mencemar nama baik PASKAL. 

"Mungkin populariti filem PASKAL menyebabkan lelaki itu sengaja menyamar," katanya. 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.