Seorang lelaki ditahan kerana didakwa telah menculik dan membunuh anak kepada wanita yang ingin dikahwininya.
Dalam kejadian di Ganjam, Odisha, India, suspek, Debashis Panda dikatakan mengenali ibu mangsa, Nirupama, sejak setahun lalu melalui Facebook dan mula jatuh hati padanya.
Jurucakap polis, Bishnu Pati berkata, Debashis selalu pergi ke rumah Nirupama dan memperkenalkannya sebagai abang kepada semua orang, sedangkan suspek menaruh perasaan terhadapnya.
Debashis ingin melamar Nirupama tetapi ditolak. Suspek pula menganggap anak Nirupama yang sering bersama ibunya sebagai penghalang untuk dia mendapatkan Nirupama, lalu dia mengambil keputusan untuk membunuh mangsa.
12 Januari, seminggu selepas ulang tahun kelahiran ketujuh mangsa, Debashis telah mengambilnya dari rumah kononnya dihantar ke sekolah. Sebaliknya, suspek membawa mangsa ke hutan dan membelasahnya dengan batu sebelum melarikan diri ke rumah rakannya di Sambalpur.
Nirupama membuat laporan polis pada hari yang sama di mana anaknya tidak pulang ke rumah. Bertindak di atas laporan itu, polis mengesyaki Debashis telah melakukan sesuatu terhadap mangsa.
Semakan pada video kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek sememangnya menculik mangsa dan ekoran itu suspek ditahan pada 16 Januari atas dakwaan menculik dan membunuh kanak-kanak itu.
Sumber: Kalingatv, Harian Metro