Tatkala murid yang lain sedang membeli makanan di kantin, murid ini hanya termenung memerhati sedangkan perutnya sudah berbunyi meminta disuapkan makanan. Begitu juga dengan adiknya di darjah satu, tiada pilihan selain mengikat perut sejak semalam.
Kisah tiga beradik ini hanya disedari guru-guru yang prihatin selepas ternampak anak kedua dari lima beradik itu tidak menjamah makanan ketika waktu rehat. Apabila diselidik lebih lanjut, ternyata mereka berasal dari keluarga susah.
Mujur ada guru-guru yang tampil membantu. Dibeli keperluan dapur mengikut kemampuan mereka. Menangis mereka apabila melihat keadaan rumah keluarga ini yang daif. Lubang di sana sini, si ibu pula sarat mengandung dan doktor mengesahkan kandungannya mengalami masalah.
Sudikanlah diri anda membantu keluarga ini. Hanya Tuhan saja yang mampu membalas jasa baik anda semua yang prihatin.
RUNTUN hati bila dengar kesusahan tiga beradik ini. Jadi, tengah hari tadi dalam jam 1 petang, saya berlari sekejap ke kedai Seri Iskandar membeli barang-barang dapur buat keluarga ini, menggunakan sebahagian hasil jualan kuih semalam. Mulanya cadang nak masuk tabung dah hari ini, tapi bila dengar keadaan keluarga ini, tak apalah. Mungkin rezeki ini untuk mereka.
Mereka pelajar baru di sekolah saya. Tiga dari lima orang adik beradik, darjah 1, 3 dan 4. Mulanya si ibu yang sarat mengandung datang pada minggu pertama sekolah. Dengan berbekal RM50, minta nak beli buku sikit-sikit hinggalah ke tahun tiga. Duit yang ada hanya RM5.00. Dapatlah beberapa buah buku tulis sahaja. Yang lain diminta untuk bayar kemudian.
Si ibu merupakan isteri pertama dan suaminya telah berkahwin lagi dalam dua tahun lalu dan kini lebih banyak menetap bersama isteri kedua (ibu tunggal anak empat). Dengan keadaan kerja suami yang tidak menentu, kehidupan mereka agak susah.
Terbaru, si suami baru dapat kerja sebagai guru k*** dengan gaji RM1,050 di ***** dan tinggal bersama isteri kedua. Saya malas nak ulas panjang hal suami kerana banyak yang negatif akan timbul nanti. Jadi, faham-faham sajalah ye.
Kemudian, sesi persekolahan berjalan seperti biasa. Namun hari ini, seorang ustazah ternampak si anak lelaki yang darjah tiga termenung duduk ketika yang lain sedang seronok membeli makanan di kantin. Apabila ditanya, rupa-rupanya dia tiada duit. Tapi sangat tenang riaknya.
Kemudian ustazah tersebut menyuruh si anak ini ke kantin dan dibiayai oleh ustazah.
Sejurus hal itu diketahui, kami panggil adiknya yang berada di darjah satu, yang ketika itu sudahpun tamat waktu rehat. Bila ditanya makan apa, digelengnya kepala. Tak makan sebab tak ada duit. Adui, sentap hati kami.
Saya beri roti yang dibawa dan suruh dia makan pada waktu itu juga. Kemudian saya panggil pula kakak sulung yang berada di darjah empat dan tanya soalan sama. Dijawabnya, "Makan, tapi kawan belanja."
"Siapa belanja?"
"Si A dan si B."
Wah! Hati berbunga, syabas buat dua pelajar ini dan niat dalam hati nak bagi ganjaran pada dua murid yang bantu ini.
Selepas itu bermulalah sesi soal selidik. Semalam makan apa, malam tadi makan apa dan antara jawapannya:
"Ayah tak balik, Ummi tak ada duit. Semalam pagi pun tak makan. Tak ada pa nak makan. Malam tadi makan maggie. Tengah hari semalam ada orang bagi ikan kari."
Saya tanya sebab nak tengok apa jawapannya.
"Tak lapar ke tak makan?
Dengan wajah yang sangat tenang, tersenyum dan penuh bersopan dia menjawab, "Terasa juga lapar tapi tahan sajalah."
Aduhai..
Selepas beli barang-barang dapur tadi, saya ajak dua orang lagi rakan guru untuk ke rumah tiga beradik ini. Kami bawa si kakaknya naik kereta sekali. Sebaik saja tiba di rumah, semua adik-adiknya sudah menunggu di depan pintu. Kami disambut dengan salaman dari semua adik beradiknya. Si ibu yang sarat juga senyum menyambut.
Melihat keadaan rumah yang disewa dengan nilai RM100, tersangatlah sedih. Berlubang sana sini dan paling menyedihkan bila melihat anak-anak terus buka roti yang kami berikan. Rupa-rupanya mereka belum menjamah makanan lagi sedangkan waktu itu dah jam 2.30 petang.
Salah seorang anaknya siap berpesan pada adik beradiknya, "Simpan untuk Ummi roti itu."
Mungkin sebab dia faham si ibu juga lapar dan dengan keadaan yang sarat masih belum menjamah apa-apa untuk tengah hari itu. Sedangkan kandungannya juga disahkan doktor bermasalah dan air ketuban juga mula berkurangan. Namun apakan daya, mengenangkan nasib anak-anaknya, dia masih bertahan walaupun makannya sendiri tidak tentu hala.
Saya menyatakan tujuan kedatangan dan bertanya keadaan sebenar. Aduhai, tabahnya hatimu wahai isteri dan ibu. Walaupun dibiar terpinggir bersama lima orang anak-anak yang masih kecil, namun dia sangat kuat. Mengalir air mata apabila saya hulurkan barang-barang dapur, tak terkata si ibu. Mengalir juga air matanya. Begitu juga air mata kami bertiga yang mendengar dan melihat keadaannya.
Untuk anak-anaknya, kami usahakan untuk menerima RMT. Namun keadaannya yang sarat dan pada bila-bila masa saja boleh bersalin juga menjadi kerisauan kami. Tiada persediaan. Tawakal sepenuhnya.
Sedangkan si suami balik, tetapi hanya untuk beberapa jam. Itu pun jarang-jarang sekali dan adakalanya tanpa sebarang wang sebagai bekalan.
Ada di kalangan kami yang memberikan sahaja buku-buku kerja secara percuma dan ada juga rakan guru yang telah membantu menjelaskan yuran buku tulis untuk si kakaknya. Namun bantuan kami juga adakalanya terbatas dan kami tidak mampu melaksanakan sepenuhnya secara bersendirian.
Saya hanya guru biasa, bukan guru kaunseling, bukan GPK HEM, bukan GB. Hanya guru bahasa inggeris yang mengajar salah seorang dari anak ini. Namun atas dasar keperimanusiaan dan simpati terhadap sesama manusia, kerana itulah niat membantu itu hadir.
Yang ragu-ragu, saya tidak paksa untuk percaya dan jangan hulurkan apa-apa kalau tuan-tuan dan puan-puan tak kenal corak kerja dan perjalanan rutin hidup saya. Bagi yang mengenali dan selalu mengikuti coretan saya di Facebook, tentu lebih kenal bagaimana khidmat sosial yang saya buat. Saya tidak ada badan-badan khas yang menaungi, tidak ada berunsurkan politik. Sebalik bergerak sendiri bersama suami dengan apa yang kami mampu dan dibantu oleh rakan-rakan Facebook.
Namun andai ada yang ingin sama-sama membantu meringankan beban keluarga ini, boleh menghubungi saya www.wasap.my/60129553258
Kalau ada yang sudi datang menyumbang, booleh datang ke sekolah dan berjumpa dengan saya di sekolah. Sebab kasihan si ibu kalau semua berpusu-pusu datang ke rumahnya tak kira masa. Boleh WhatsApp saya dulu untuk kita tentukan masa.
Seperkara lagi, harap sama-sama faham. Ibu ini juga tersepit dan sangat takut. Dengan keadaannya yang susah dan juga kerisauannya dengan tindakan suami apabila ramai yang tahu nanti. Jadi, ada baiknya kalau ada sumbangan atau inginkan kesahihan, jumpa saya di sekolah.
Jangan kita persoal siap yang patut membantu. Sebaliknya tanya apa yang kita boleh bantu.
Sumber: Cikgu Norazlin Abd Aziz